Nelayan diberi peralatan baharu, bot lebih moden

A
A
A

Wakil jururunding Aaira Marine memeriksa bot lama milik seorang nelayan (berdiri di kanan) di kawasan PSR.
Wakil jururunding Aaira Marine memeriksa bot lama milik seorang nelayan (berdiri di kanan) di kawasan PSR.

Nelayan di kawasan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) yang layak akan mula menerima bot gentian kaca berukuran 27 kaki yang lebih moden, berkapasiti tinggi dan selamat pada hujung Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, kerja pembuatan bot telah bermula di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang dirangka khas untuk nelayan yang terlibat dalam pembangunan PSR.

“Kerajaan negeri melantik syarikat tempatan untuk membina bot nelayan. Dijangka beberapa bot akan siap dalam masa terdekat untuk memulakan penyerahan secara berfasa kepada kumpulan penerima yang pertama bulan depan (Julai),” katanya.

Kumpulan penerima pertama terdiri daripada 20 nelayan yang telah mendaftarkan nama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menerima manfaat SIMP.Di bawah SIMP, pemilik bot atau tekong yang berpangkalan di unit nelayan Permatang Tepi Laut, Gertak Sanggul, Sungai Batu dan Teluk Kumbar (Tahap 1) layak mendapat bot dan enjin baharu.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Pulau Pinang, jumlah tekong berdaftar dari empat unit nelayan tersebut adalah seramai 315 orang.

Bot berkualiti

Bot baharu itu direka bentuk oleh perunding marin Aaira Marine Consultants & Services Sdn Bhd yang telah mengaudit keadaan bot-bot lama nelayan PSR di bawah skim SIMP pada tahun lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati, kebanyakan bot yang sedia ada itu sudah usang dan kurang selamat untuk digunakan.

Dua pekerja sedang menyiapkan sebuah bot nelayan di Fibra Marine.
Dua pekerja sedang menyiapkan sebuah bot nelayan di Fibra Marine.

Pakar teknikal Aaira Marine, Mohd Amirrudin Mohd Zainudin berkata, bot nelayan yang baharu dibina dengan menggunakan gentian kaca (fibreglass) dan foam di bahagian bawah badan kapal (hull).

Katanya, penggunaan bahan gentian kaca sepenuhnya dalam pembuatan bot akan menjadikan bot lebih ringan dan tahan lebih lama.

“Apabila lebih ringan, bot itu akan dapat bergerak dengan pantas dan menjimatkan penggunaan minyak.

“Bot itu juga akan lebih tahan dan kurang memerlukan penyelenggaraan berbanding yang dibuat daripada kayu. Kami juga mengesyorkan penggunaan PU composite honeycomb yang lebih ringan dan tahan lasak,” katanya.

Beliau yang berkepakaran dalam bidang seni bina dan pembinaan kapal berkata, reka bentuk bot yang disediakan menepati keperluan nelayan kawasan PSR.

Katanya, Aaira Marine telah melalui beberapa sesi perbincangan dengan nelayan untuk memuktamadkan reka bentuk bot.

“Kami akan pastikan nelayan mendapat reka bentuk bot yang terbaik untuk keperluan mereka. Pada masa ini, tidak banyak bot nelayan di Malaysia yang menepati piawaian pembinaan bot yang ditetapkan oleh Food and Agriculture Organisation (FAO) bagi pembinaan bot di bawah 12m,” katanya.

Malah katanya, mulai tahun ini lukisan susun atur am (general arrangement plan) bagi semua bot yang dibina perlu mendapat perakuan Jabatan Perikanan, selaras dengan agenda kebangsaan untuk memodenkan sektor nelayan di Malaysia.

Peluang baik

Syarikat tempatan Fibra Marine Manufacturing and Trading yang terletak di Butterworth, Seberang Perai Utara, antara yang akan dilantik untuk menguruskan pembinaan 20 bot nelayan itu.

Mohamad Nasser
Mohamad Nasser

Pemilik Fibra Marine, Mohamad Naser Talib berkata, syarikatnya berpengalaman membina bot gentian kaca berukuran 20 kaki hingga 35 kaki.

“Setiap bot akan dibina oleh dua pekerja. Kami jangka dapat menyiapkan 20 bot dalam tiga bulan,” katanya.

Sementara itu katanya, penggunaan gentian kaca sepenuhnya menjadikan reka bentuk bot lebih praktikal dan bertahan lebih 20 tahun.

Jelasnya, pelaksanaan PSR akan memberi kelebihan dari segi peluang baharu dan pembangunan kepada nelayan setempat.

“Misalnya, akan ada tarikan pelancongan baru di kawasan itu yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk tambah pendapatan.

“Mereka harus membuka minda dan memanfaatkan kebaikan daripada peluang ini demi masa depan mereka,” tambahnya.

Enjin mesra alam

Bot nelayan ini juga dilengkapi enjin baharu berjenama Mercury atau Yamaha. Enjin Mercury akan dibekalkan oleh syarikat Supratechnic, manakala enjin Yamaha oleh syarikat Hong Bee Motor.

Farizan (depan) melihat enjin bot bakal diberi kepada nelayan yang layak di bawah skim SIMP.
Farizan (depan) melihat enjin bot bakal diberi kepada nelayan yang layak di bawah skim SIMP.

Di bawah skim SIMP, enjin empat lejang (4 stroke) yang disediakan akan beroperasi dengan lebih bersih, senyap dan menjimatkan minyak.

Enjin empat lejang juga dikatakan lebih bertahan berbanding enjin dua lejang yang lebih banyak mengeluarkan karbon.

Pengurus Besar Wilayah Supratechnic, Kan Bright Pan pula berkata, enjin Mercury menepati piawaian pengeluaran karbon antarabangsa dan lebih mesra alam.

“Penggunaan enjin empat lejang bagus untuk nelayan kerana ia menjimatkan kos operasi.

“Mereka boleh berjimat sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus bergantung kepada kelajuan enjin (RPM atau revolusi per minit),” katanya.

Menurutnya, tempoh waranti yang ditawarkan kepada nelayan juga lebih lama iaitu dua tahun.

Untuk rekod, SIMP turut menawarkan bantuan kewangan (ex-gratia), peluang pekerjaan dan perniagaan, skim latihan dan kemahiran, program tuisyen untuk anak nelayan serta bantuan perumahan kepada nelayan Tahap 1 dan nelayan Tahap 2 dari unit Batu Maung, Sri Jerjak, Telok Tempoyak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung, yang terdiri daripada 952 nelayan.