PKNIK tidak zalimi penduduk setinggan

Tangkap layar video tular pada Selasa mengenai seorang wanita mendakwa dirinya dizalami selepas rumahnya dirobohkan oleh PKNIK.
Tangkap layar video tular pada Selasa mengenai seorang wanita mendakwa dirinya dizalami selepas rumahnya dirobohkan oleh PKNIK.
A
A
A

KOTA BHARU - Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menafikan dakwaan pihaknya bertindak zalim ke atas penduduk setinggan di Jalan Atas Paloh di sini.

Menerusi satu kenyataan agensi kerajaan negeri itu berkata, perbincangan secara terbuka telah diadakan bersama penduduk di kawasan berkenaan sebelum ini.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, tanah PT 79, Seksyen 5, Jalan Atas Paloh adalah tanah hak milik penuh PKNIK.

"Terdapat 53 keluarga telah mendiami dan menyewa premis di kawasan tersebut," katanya.

Menurutnya, daripada 53 keluarga yang mendiami dan menyewa tanah tersebut hanya satu sahaja tidak bersetuju dengan perbincangan awal itu.

Katanya, kesemua 52 keluarga telah mencapai kata sepakat dan bersetuju berpindah ke perumahan yang ditawarkan oleh PKINK.

"36 keluarga ditawarkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor di sini manakala 16 keluarga lagi ditawarkan berpindah ke RMMK Raudhah PKINK Badang," katanya.

PKINK juga memberikan insentif berjumlah RM1000 kepada setiap ketua keluarga yang bersetuju berpindah.

"Bayaran RM500 dibayar sebelum berpindah dan baki RM500 dibayar setelah selesai berpindah.

"Persetujuan awal yang telah dicapai membenarkan PKINK untuk membuat perobohan secara bertahap iaitu fasa satu pada 1 Mac 2020 (20 buah rumah) dan fasa dua, 9 November 2020 (18 buah rumah)," katanya.

Walau bagaimanapun PKNIK berkata, pada 28 Disember 2020, seramai 16 penama telah membuat bantahan dan membawa kes ke mahkamah dan kerja-kerja perobohan terpaksa ditunda.

Katanya, berikutan keputusan mahkamah telah memihak kepada PKINK pada 26 April lalu, perobohan fasa tiga diteruskan bermula 19 Jun lalu yang mana 14 buah rumah terlibat.

"Perobohan fasa tiga adalah pada19 Jun (lima buah rumah) dan 20 Jun (empat buah rumah).

"Bagi baki lima buah lagi, PKINK bersetuju menangguhkan kerja-kerja perobohannya buat masa ini," katanya.

Pada Selasa, tular video seorang wanita mendakwa dirinya dizalami selepas rumahnya dirobohkan oleh PKNIK.