Kaki anak gajah dipotong selepas cedera terkena jerat

Anak gajah betina yang dipotong kaki kanannya akibat kecederaan parah yang dialami selepas terkena jerat di Tungku, Lahad Datu.
Anak gajah betina yang dipotong kaki kanannya akibat kecederaan parah yang dialami selepas terkena jerat di Tungku, Lahad Datu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kaki kanan hadapan seekor anak gajah terpaksa dipotong selepas hampir putus akibat terkena jerat dalam kejadian di Tungku, Lahad Datu pada Sabtu lalu.

Anak gajah betina berusia kurang dari dua tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan cedera sebelum dilaporkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau dimaklumkan berhubung perkara itu oleh pihak Jabatan Hidupan Liar dan pasukan Penyelamat Hidupan Liar diarah untuk menjejaki anak gajah yang cedera itu.

Menurutnya, pasukan penyelamat berjaya menjejaki anak gajah itu di Felda Sahabat 5 dan mendapati ia cedera di bahagian kaki kanan hadapan kerana terkena jerat jenis tali.

"Pemeriksaan susulan pada Isnin mendapati kakinya hampir putus akibat kesan jerat yang terlalu ketat.

"Bagi mengelak tisu kaki haiwan itu menjadi lebih parah dan tidak berfungsi, bahagian pergelangan kakinya terpaksa dipotong oleh pegawai veterinar yang melakukan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, Jafry berkata, perbuatan memasang jerat adalah satu tindakan yang amat kejam dan menyalahi undang-undang Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

"Memburu haiwan menggunakan jerat merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 33 (1)(k)(iii), Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM20,000 tetapi tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Hidupan Liar menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 bagi mana-mana pihak yang memberi maklumat mengenai aktiviti pemasangan jerat sehingga membawa kepada penangkapan individu yang melakukan aktiviti itu.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta untuk menghubungi di talian 016-810 9901, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.