Pengeluaran durian Perak menurun 50 peratus

Pengeluaran buah durian di Perak menurun 50 peratus musim ini. Gambar kecil: Norsiyenti
Pengeluaran buah durian di Perak menurun 50 peratus musim ini. Gambar kecil: Norsiyenti
A
A
A

PARIT - Pengeluaran buah durian di Perak menurun 50 peratus musim ini berikutan faktor cuaca yang tidak menentu sejak awal tahun selain kekangan tenaga kerja ladang.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Norsiyenti Othman berkata, daerah Larut Matang dan Selama menjadi penyumbang utama pengeluaran raja buah itu di negeri ini selain Hulu Perak, Perak Tengah, Kuala Kangsar dan Manjung.

"Penyusutan pengeluaran dikesan apabila Januari hingga Mac yang sepatutnya musim panas, tetapi tahun ini kerap hujan, berangin dan ribut menyebabkan bunga dan putik buah banyak gugur.

"Selain itu, pemilik dusun durian mengalami kekurangan pekerja selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kerja penyelenggaraan pokok terganggu selain berhadapan gangguan musuh tanaman seperti kera,” katanya.

Beliau ditemui pada Kempen Amalan Kawalan Perosak Tanaman Bersepadu (IPM) yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria di Parit 2 di sini pada Selasa.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan berlakunya kenaikan harga buah berkenaan, namun masih dalam keadaan terkawal mengikut jenis durian.

"Pokok mengeluarkan hasil pada Mei hingga penghujung Ogos dengan akhir bulan ini adalah waktu puncak pengeluaran hasil.

"Bekalan kurang akan berlaku sedikit kenaikan harga namun setakat ini, durian kampung dilihat dijual pada harga antara RM6 hingga RM15 sekilogram," katanya.

Norsiyenti berkata, Perak adalah negeri keempat pengeluar durian dalam negara membabitkan kawasan seluas 5,498.5 hektar dengan pengeluaran sebanyak 36,223.9 tan metrik yang dicatatkan tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Nizar ketika ditemui berharap agar kelompok pesawah di Parlimen itu melibatkan kawasan seluas 7,400 hektar segera diletakkan di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

"Menempatkan kelompok ini di kawasan jelapang padi memudahkan mendapat peruntukan disediakan di bawah agensi itu.

"Difahamkan proses itu sudah berada di fasa terakhir sebelum dibawa di peringkat kementerian (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan kita berharap ia dapat berlaku dengan cepat,” katanya.