13 ahli sindiket along ditahan di kondominium mewah

Mohd Shuhaily ketika sidang media berhubung Ops Cantas Tanjung III dan kejayaan menumpaskan kumpulan yang melakukan khianat dan menawarkan aktiviti pinjaman wang tidak wujud di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini. Foto Bernama
Mohd Shuhaily ketika sidang media berhubung Ops Cantas Tanjung III dan kejayaan menumpaskan kumpulan yang melakukan khianat dan menawarkan aktiviti pinjaman wang tidak wujud di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Seramai 13 individu termasuk empat wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket along dan pemberian pinjaman tidak wujud melibatkan kerugian sebanyak RM1.914 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kumpulan itu juga didapati terlibat dalam jenayah khianat serta ugutan jenayah.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang di sebuah kondominium mewah di Perda, Bukit Mertajam pada jam 12.45 tengah hari, 15 Jun lalu.

"Hasil maklumat diperoleh, polis menyerbu sebuah kondominium mewah yang disewa sindiket itu sejak empat bulan lalu. Kesemua suspek disyaki terlibat dalam kegiatan ah long, khianat, simbah cat dan ugutan jenayah.

"Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan kondominium tersebut sebagai tempat menjalankan kegiatan memberi pinjaman tidak wujud dengan mengenakan yuran pemprosesan kepada mangsa yang mahu meminjam wang daripada mereka," katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, kesemua yang ditahan adalah ahli sindiket dan berperanan untuk menghubungi mangsa.

"Mereka mempunyai skrip yang digunakan dalam memujuk dan menawarkan pinjaman tidak wujud kepada mangsa berdasarkan skrip yang ditulis.

"Susulan penahanan kesemua suspek, kita membuka 132 kertas siasatan membabitkan kumpulan tersebut. Mereka ini bertapak di Pulau Pinang namun mangsa terdiri dari seluruh negara," jelasnya.

Mohd Shuhaily menambah, sindiket tersebut menggunakan medium media sosial untuk menjalankan kegiatan mereka.

"Mereka akan menggunakan Facebook atau aplikasi Whatsapp untuk mencari mangsa dan kemudiannya menghubungi mangsa untuk diperdayakan dan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.

"Bagaimanapun, peminjam yang gagal membayar semula hutang akan diugut, disimbah cat dan dilakukan khianat. Siasatan juga mendapati ada juga permohonan peminjam tidak diluluskan oleh ahli sindiket," katanya.

Berdasarkan siasatan, Mohd Shuhaily berkata, ahli sindiket terbabit aktif sejak tahun lalu dan berpindah randah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan di kondominium tersebut, polis merampas 27 unit telefon bimbit, komputer riba, sebuah kereta dan 10 buah nota tercatat nombor telefon serta nombor akaun mangsa.

"Tiga daripada suspek yang kesemuanya berusia 19 hingga 30 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 dan 420 Kanun Keseksaan," katanya.