Geng samun, pecah rumah tumpas, 2 pistol dan bom tangan dirampas

Azmi menunjukkan pistol yang dirampas daripada kumpulan samun dan pecah rumah.
Azmi menunjukkan pistol yang dirampas daripada kumpulan samun dan pecah rumah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan kumpulan yang disyaki bergiat aktif melakukan 15 kes jenayah samun dan pecah rumah selepas menahan lapan individu termasuk seorang wanita di sekitar Lembah Klang pada 18 Jun hingga 20 Jun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, seorang lagi anggota kumpulan itu maut dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah kondominium di Salak Selatan pada Sabtu.

'Kita turut merampas sepucuk pistol jenis CZ 75 Compact dan sebutir bom tangan di kondominium berkenaan.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek terbabit mempunyai empat rekod jenayah dan tiga rekod masih dikehendaki," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, siasatan lanjut pihaknya menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 67 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

"Kita turut merampas satu lagi pistol jenis CZ 75 Compact daripada salah seorang suspek yang ditahan," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes samun dan bunuh.

“Salah seorang daripada mereka mempunyai lebih 40 rekod jenayah, kita percaya kumpulan itu terlibat dalam 15 kes samun dan pecah rumah di Lembah Klang sejak 2009," katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, pihaknya akan menjalankan operasi sekiranya mendapat petunjuk baharu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 03-21460685 atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Hasni Hussin di talian 019-9984444, talian hotline polis KL di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!