'Situasi ini cemarkan imej Malaysia'

Abdullah Sani
Abdullah Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan perhatian serius perlu diberikan berhubung dakwaan sebuah agensi berpangkalan di Dhaka, Bangladesh terdapat syarikat yang mempengaruhi kerajaan untuk mengehadkan bilangan agensi membekalkan buruh ke negara ini.

Menurutnya, situasi itu telah mencemarkan imej Malaysia dari segenap peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Dakwaan sebegini terhadap syarikat itu bukanlah baharu, pada Ogos 2018 kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah menggantung operasinya, namun masih tiada makluman lengkap laporan siasatan daripada pihak berautoriti.

“Apabila beberapa dakwaan dikemukakan tanpa ada jawapan yang meyakinkan, ia semakin melebarkan defisit kepercayaan kepada kerajaan Malaysia pada hari ini.

“Siasatan menyeluruh perlu dijalankan segera termasuklah terhadap rangkaian syarikat perniagaan yang terkait,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau dalam pada itu menggesa kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KSM) menjalankan siasatan kebarangkalian syarikat yang melanggar Seksyen 60M dan 60N Akta Kerja 1955 berkaitan pekerja tempatan bagi memastikan nasib golongan itu terus terbela.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menafikan pengasas syarikat terbabit yang dilahirkan di Bangladesh adalah sebahagian daripada ‘sindiket’ membekalkan buruh dari negara itu ke Malaysia.

Kenyataan itu dibuat susulan ejen buruh di Dhaka mendakwa bahawa individu tersebut mempengaruhi kerajaan Malaysia untuk mengehadkan bilangan agensi yang dibenarkan membekalkan buruh ke Malaysia kepada 25 syarikat sahaja.

Mengulas lanjut, Abdullah Sani berkata, kerajaan perlu memberikan mesej jelas terhadap kesungguhan politik dalam menangani isu kian membengkak, ditambah laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menurunkan kedudukan Malaysia ke tahap paling rendah iaitu Tahap Tiga Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021.

“Mana mungkin perkara sebegini dibiarkan berterusan tatkala negara sedang berdepan dilema masalah pengangguran yang cukup kritikal dengan kadar pengangguran kira-kira 687,600 orang pada Disember tahun lalu,” ujarnya.