Empat cabaran besar sebagai MB Selangor

Amirudin (dua kiri) mengadakan lawatan ruang pameran yang terdapat di Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas di sini pada Ahad.
Amirudin (dua kiri) mengadakan lawatan ruang pameran yang terdapat di Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas di sini pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Genap empat tahun Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah terima jawatan Menteri Besar Selangor di di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 19 Jun 2018.

Amirudin berkata, beliau berdepan empat cabaran besar yang disifatkan sebagai cabaran luar jangka sepanjang mengemudi Selangor.

Menurutnya, empat cabaran tersebut adalah krisis politik nasional menerusi langkah Sheraton yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), pandemik Covid-19 dan kesan ekonomi serta banjir besar melanda Selangor pada Disember tahun lalu.

"Alhamdulillah saya memiliki pasukan yang seimbang dan dapat mendepani cabaran tersebut. Saya berharap dapat melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin hingga akhir penggal," katanya pada program Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas di sini pada Ahad.

Amirudin memotong pulut kuning sempena ulang tahun keempat sebagai menteri besar yang diraikan pada program sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu diberikan kepercayaan menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi selepas PH menang PRU14.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau berterima kasih kepada rakyat Selangor dan pimpinan negeri terdiri exco, penjawat awam serta anak syarikat kerajaan negeri yang memberikan kepercayaan buatnya memimpin Selangor hingga berjaya mendepani empat cabaran besar tersebut.

"Semua cabaran itu kita hadapi dengan cekal dan penuh rendah diri. Istilah tahan uji yang saya persembahkan ini bukan hanya mewakili diri saya tetapi juga pasukan saya di Selangor," katanya.