Buruh miliki dadah terlepas tali gantung

Mahkamah Kota Bharu
Mahkamah Kota Bharu
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh yang sebelum ini didakwa mengedar dadah terlepas hukuman mati apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad atas pertuduhan pilihan memiliki dadah pada dua tahun lalu.

Hakim Datuk Roslan Abu Bakar menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Zalamim Che Ya, 45, mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, Zalamim didakwa memiliki 16.79 gram dadah jenis heroin di tepi jalan di hadapan sebuah rumah di Jalan Tawang Kampung Tok Jawa di Bachok pada jam 4.30 petang, 26 Julai 2020.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta yang sama.

Sabit kesalahan mengikut seksyen berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau satu tempoh tidak kurang minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas tuduhan mengedar dadah berkenaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan.

Pada prosiding itu, Ahmad Feisal mohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana dadah merupakan masalah utama negara ini, namun Muhammad Hasif memohon agar anak guammnya dikenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh telah insaf.

“Tertuduh juga perlu menjaga ibu yang sudah tua dan sering sakit serta sentiasa perlu ke hospital manakala bapanya sudah meninggal dunia,” kata Muhammad Hasif.