RTB kurangkan 52 peratus mangsa banjir di Segamat

Sidang DUN Johor.
Sidang DUN Johor.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 1 yang dilaksanakan kerajaan negeri berjaya mengurangkan sehingga 52 peratus penduduk terjejas banjir di Segamat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar berkata, sebelum RTB dilaksanakan, jumlah penduduk terjejas seramai 21,158 orang manakala selepas pelaksanaannya berjaya mengurangkan kepada 11,040 orang.

"Antara punca banjir ialah taburan hujan dalam satu-satu masa dengan lebat menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung aliran air seterusnya melimpah ke penempatan penduduk. Lebih memburukkan keadaan apabila bertembung dengan air pasang.

"Saya percaya dengan penyediaan pelan jangka panjang melalui projek RTB Segamat Fasa 2 dengan kos keseluruhan bernilai RM650 juta, kerajaan Johor komited mengurangkan jumlah mangsa banjir di daerah Segamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan N Saraswati (BN-Kemelah) berhubung tindakan kerajaan negeri dalam mengelakkan banjir di kawasan perkampungan daerah Segamat ketika sidang DUN di Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Pada musim tengkujuh awal tahun lalu, Segamat menjadi daerah pertama di Johor dilanda banjir sehingga menjejaskan ribuan penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Johor telah menyaksikan seramai 131 lantikan Personal Mystep yang ditempatkan di negeri ini.

"Pengisian kekosongan jawatan pelbagai gred di kerajaan Johor itu selaras dengan inisiatif Penggunaan Sumber Manusia Secara Optimum yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan mengelakkan pembaziran sumber.

"Daripada jumlah tersebut, 32 merupakan lantikan di jabatan negeri, 94 lantikan di pihak berkuasa tempatan manakala lima lantikan melibatkan badan berkanun negeri.

"Anggota atau Personel MySTEP sedia ada boleh memohon pengisian bagi jawatan tetap atau kontrak melalui pelantikan dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor atau jabatan kerajaan yang berkaitan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu menjawab soalan lisan Haslinda Salleh (BN-Tenang) berhubung apakah terdapat perancang oleh kerajaan negeri untuk menyerap kakitangan di bawah skim kontrak MySTEP ke jawatan tetap terutama mereka yang telah berkhidmat melebihi tiga tahun.