Rekahan dipercayai kesan runtuhan tanah

Laporan Sinar Harian pada 8 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian pada 8 Jun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengadakan mesyuarat dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengatasi masalah rekahan tanah yang berlaku di Balai Bomba Pasir Mas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, rekahan tanah di kawasan padang kawad di balai bomba tersebut disedari berlaku sejak 3 Jun lalu.

Menurutnya, rekahan tersebut dipercayai kesan daripada runtuhan tanah di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas pada 17 Februari 2021 yang terletak kira-kira satu kilometer daripada lokasi balai bomba berkenaan.

"Rekahan yang berlaku melibatkan kawasan sekitar 1.5 meter di pekarangan balai bomba berkenaan.

“Kawasan itu tidak melibatkan tempat letak jentera atau kenderaan pasukan dan rekahan masih sama serta tidak melarat.

“Setakat ini, penugasan di Balai Bomba Pasir Mas masih berjalan seperti biasa, namun anggota sentiasa dalam keadaan yang berjaga-jaga serta peka terhadap sebarang risiko kemalangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada 17 Februari 2021, penduduk di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat apabila tebing sungai sepanjang 200 meter berhampiran rumah mereka runtuh.

Kejadian memusnahkan sebuah rumah, manakala beberapa rumah lagi terjejas dan hampir runtuh namun tiada ada kemalangan jiwa dilaporkan.

Susulan itu, 100 penduduk kampung tersebut dipindahkan dari lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati runtuhan berlaku disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke tebing berkenaan.