Anwar tuntut SPRM buat siasatan penuh terhadap dua syarikat

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut siasatan penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua syarikat yang didakwa terkait dengan urusan mencurigakan bagi memperoleh kontrak daripada kerajaan sebelum ini.

Tegasnya, pendedahan yang dibuat ke atas kedua-dua syarikat itu dikhuatiri akan terus menggugat kepercayaan dan menambah rasa curiga rakyat terhadap kerajaan dalam mengurus isu penyelewengan dan kepincangan.

“Saya mengikuti perkembangan melibatkan isu dua syarikat iaitu Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet mutakhir ini.

“Ini setelah sebuah agensi buruh di Dhaka menuduh pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor mempengaruhi kerajaan untuk menghadkan bilangan agensi yang membekalkan buruh kepada 25 syarikat sahaja.

“Isu sebesar ini semestinya menuntut tindakan yang tuntas dan pantas, terutama daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana ia melibatkan nama menteri dan mantan menteri yang berkaitan, dari Perdana Menteri dan juga Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara itu perlu dilihat secara serius kerana ia turut melibatkan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Pernah saya suarakan di Parlimen sebagai perhambaan moden di mana pekerja diperas sementara pedagang dan ejen bertindak sebagai penindas yang mengaut keuntungan besar,” katanya.

Saravanan sebelum ini dilapor menafikan Mohd Amin yang dilahirkan di Bangladesh adalah sebahagian daripada ‘sindiket’ yang membekalkan buruh dari Bangladesh ke Malaysia.

Kenyataan itu dibuat susulan ejen buruh di Dhaka mendakwa bahawa Mohd Amin mempengaruhi kerajaan Malaysia untuk mengehadkan bilangan agensi yang dibenarkan membekalkan buruh ke Malaysia kepada 25 syarikat sahaja.