Kes denggi di Pahang turun 13 peratus

Dr Nor Azimi (depan, tiga dari kanan) mengiringi Hamdan (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing pada Sabtu.
Dr Nor Azimi (depan, tiga dari kanan) mengiringi Hamdan (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kes deman denggi di Pahang menunjukkan penurunan sebanyak 13 peratus kepada 215 kes dalam tempoh Januari hingga 11 Jun tahun ini berbanding 247 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, dalam tempoh itu juga tiada kes kematian akibat deman denggi dilaporkan di negeri ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes deman denggi yang dilaporkan tahun ini, Kuantan merekodkan kes tertinggi dengan 71 kes diikuti Temerloh (55 kes) dan Bentong (40 kes).

"Deman denggi agak mustahil untuk mencapai sifar kes memandangkan ia satu endemik yang sentiasa berlaku.

"Bagaimanapun usaha perlu dilakukan secara berterusan bagi memerangi denggi daripada menjadi wabak tidak terkawal yang boleh membawa kepada kematian," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing di sini pada Sabtu.

Majlis disempurnakan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Dr Nor Azimi berkata, setakat ini pihaknya telah mengeluarkan 462 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM231,000 terhadap pihak yang gagal menguruskan persekitaran premis masing-masing hingga berlaku pembiakan nyamuk aedes di negeri ini.

Beliau berkata, peranan memerangi denggi merupakan tugas bersama khususnya dalam kalangan komuniti dan bukan meletakkan tanggungjawab itu di bahu agensi terlibat semata-mata.

Dr Nor Azimi membuat pemantauan kawasan persekitaran kediaman penduduk sempena Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku,Jalan Sungai Lembing pada Sabtu.
Dr Nor Azimi membuat pemantauan kawasan persekitaran kediaman penduduk sempena Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku,Jalan Sungai Lembing pada Sabtu.

"Setiap anggota masyarakat perlu mengamalkan aspek kebersihan bermula dari rumah dengan membersihkan kawasan dan memastikan tidak berlaku pembiakan nyamuk aedes dalam premis mereka," katanya.

Sementara itu, Hamdan berkata, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan persekitaran daerah ini sentiasa bersih dan bebas wabak penyakit.

Beliau berkata, sesuai dengan status Kuantan sebagai penerima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard 2022-2024 peringkat kebangsaan yang diterima Oktober tahun lalu, aspek kebersihan persekitarannya amat penting.

"Anugerah ini amat signifikan dalam membantu menarik kehadiran pelancong ke daerah Kuantan.

"Ia terbukti apabila bilangan pelancong ke daerah ini terus meningkat terutama pada hujung minggu berdasarkan tempahan bilik-bilik hotel yang sentiasa penuh," katanya.

Hamdan berkata, dalam usaha memerangi kes denggi di daerah ini, MBK sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengawal penularannya.

"Pelbagai program telah dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan Pejabat Kesihatan Daerah (PHD).

"Hasil usaha yang berterusan, kes deman denggi di Kuantan menunjukkan penurunan 85 peratus," katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan turut dijalankan dengan lebih 3,000 premis telah diperiksa dan 454 notis serta 55 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik yang gagal memastikan aspek kebersihan di premis mereka.