Malaysia tidak berisiko alami stagflasi

Malaysia tidak berisiko mengalami stagflasi dalam masa terdekat kerana merekodkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan kadar inflasi yang masih rendah.
Malaysia tidak berisiko mengalami stagflasi dalam masa terdekat kerana merekodkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan kadar inflasi yang masih rendah.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia tidak berisiko mengalami stagflasi dalam masa terdekat kerana merekodkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan kadar inflasi yang masih rendah.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiiff berkata, stagflasi berlaku apabila pertumbuhan ekonomi merudum, inflasi meningkat dan kenaikan kadar pengangguran.

“Tapi kalau tengok situasi semasa Malaysia, kita masih mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama 2022 sebanyak lima peratus, inflasi masih lagi rendah sekitar 2.3 peratus dan kadar pengangguran makin menurun kepada 4.1 peratus.

“Oleh itu saya tidak melihat risiko untuk stagflasi berlaku di Malaysia dalam masa terdekat kerana negara kita masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif,” katanya kepada Sinar Harian.Pada Khamis, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menyebut mengenai risiko stagflasi dalam hantarannya di Facebook.

Ia ekoran kadar pertumbuhan global pada 2022 yang mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 4.3 peratus pada 8 Jun 2021, 4.1 peratus (11 Januari 2022) dan merosot kepada 2.9 peratus (8 Jun 2022).

Mengulas lanjut, Ahmed Razman menjelaskan, pertumbuhan ekonomi itu juga berdasarkan statistik nilai eksport negara yang sentiasa meningkat, akaun semasa dan imbangan perdagangan yang positif.

Katanya, ia turut dipengaruhi peningkatan ketara pelaburan langsung asing (FDI) pada suku tahun pertama 2022 serta harga komoditi seperti minyak dan minyak sawit yang kekal tinggi.

Senada dengan Ahmed Razman, ahli ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi juga berpandangan negara tidak akan berdepan stagflasi.

Artikel Berkaitan:

“Stagflasi ialah senario inflasi tanpa pertumbuhan ekonomi, yakni permintaan.

“Secara rasmi kadar inflasi Malaysia adalah 2.3 peratus dan pertumbuhan sebenar pada tahun 2021 dalam tiga peratus manakala pada suku pertama tahun ini pertumbuhannya adalah sebanyak lima peratus. Jadi, tak ada (risiko) stagflasi.

Bagaimanapun, Nungsari menegaskan, perkara yang membimbangkan sekarang ialah soal inflasi.

“Pada saya Indeks Harga Pengguna (CPI) tidak mencerminkan kadar inflasi sebenar kerana banyak barangan yang dikira dalam CPI disubsidikan, jadi CPI menjadi rendah.

“Kadar inflasi yang tinggi boleh berterusan jika peperangan di Ukraine berpanjangan dan ekonomi China mengalami kelembapan serta jika kadar pertukaran asing Ringgit Malaysia (RM) terus menjadi lemah.

“Pertumbuhan pun membimbangkan tetapi masih ada permintaan agregat terutamanya dari segi perbelanjaan tetapi ia hanya boleh berterusan dan berkembang jika ekonomi dunia berkembang,” ujar beliau.