Pelajar tahfiz cemerlang SPM

Wan Sabri (dua dari kiri) melihat surat tawaran yang diterima tiga pelajar tahfiz yang mengikuti UBC berikutan memperoleh keputusan cemerlang pada SPM 2021 di USAS pada Jumaat.
Wan Sabri (dua dari kiri) melihat surat tawaran yang diterima tiga pelajar tahfiz yang mengikuti UBC berikutan memperoleh keputusan cemerlang pada SPM 2021 di USAS pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Lebih 70 pelajar tahfiz yang menyertai program 'Fast Track' Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu pada Khamis.

Kumpulan itu menyertai Pusat Kecemerlangan USAS (UBC) yang diwujudkan untuk menyelamatkan pelajar-pelajar tahfiz yang belum memiliki SPM.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, sejumlah 93 peratus calon telah lulus kelayakan memiliki SPM sekaligus memiliki peluang menembusi arus perdana pendidikan.

"Seramai 80 orang pelajar UBC menduduki peperiksaan SPM 2021 dan dalam tempoh 10 bulan pengajian mereka berusaha untuk menguasai enam subjek wajib dan dua subjek elektif sambil dibantu 27 guru.

"Mereka melalui fasa pendidikan yang mencabar yang perlu melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) serta secara bersemuka untuk beberapa bulan.

"Keputusan yang diumumkan semalam walaupun menunjukkan pencapaian sederhana namun ia amat menggalakkan memandangkan USAS baharu pertama kali menyediakan calon SPM," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Pada program itu, beliau menyampaikan surat tawaran kepada tiga pelajar terbaik SPM UBC 2021 iaitu Nurul Syamimi Azhar yang memperoleh 8A, Salsabiela Fauzi (6A) dan Muhammad Nabil Imran Saybee Nor Hafizi yang mendapat 5A.

Wan Sabri berkata, kesemua pelajar yang lulus telah menerima tawaran kemasukan ke program Pengajian Asasi Sastera ambilan Jun/ September 2022.

Menurutnya, menerusi kejayaan itu, ia menjadi perintis kepada 138 pelajar kohot kedua yang bakal menduduki SPM UBC 2022.

"Kita menyasarkan 100 peratus pelajar aliran tahfiz ini berjaya menjejaki menara gading berikutan pencapaian mereka untuk bersaing walaupun belajar dalam tempoh singkat.

"Kita akan menambah baik UBC ini antaranya kemudahan lain serta tambahan guru-guru selain meneruskan 'engagement' dengan rakan-rakan strategik USAS," katanya.