PM arah kaji semula 147 undang-undang lapuk

Ismail Sabri (lima dari kanan) bersama alumni Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pada Majlis Perayaan Jubli Emas fakulti itu pada Jumaat.
Ismail Sabri (lima dari kanan) bersama alumni Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pada Majlis Perayaan Jubli Emas fakulti itu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk, sama ada untuk dipinda atau dimansuhkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penambahbaikan tersebut akan dilaksanakan selaras langkah transformasi undang-undang secara signifikan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, ketika ini terdapat undang-undang sedia ada yang tidak lagi relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa.

Justeru katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah diarahkan untuk mengkaji dan meneliti perkara berkenaan.

"Transformasi undang-undang ini perlu kerana keadaan telah berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan mengikut keadaan semasa.

"Misalnya Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian," katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang UM (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah proaktif dalam memperkasa undang-undang negara ini antaranya memansuhkan hukuman mati mandatori di samping Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan Dana Sumbangan Politik.

Katanya, pengumuman pemansuhan mati mandatori bukan bermaksud hukuman itu dihapuskan.

"Ramai yang keliru tentang pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini. Kerajaan tidak menghapuskannya, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada hukuman mati atau pilihan yang lain.

"Objektif ini perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan dan pembuat polisi dalam hal berkaitan penghukuman suatu jenayah untuk mencari hukuman terbaik, setimpal dan berkesan," jelasnya.