Segerakan baik pulih cerun runtuh

Fahmi meninjau keadaan tanah yang runtuh dalam kejadian enam bulan lalu di Lorong Travers yang belum dibaiki sehingga kini.
Fahmi meninjau keadaan tanah yang runtuh dalam kejadian enam bulan lalu di Lorong Travers yang belum dibaiki sehingga kini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa kerja baik pulih cerun yang runtuh di sekitar Kuala Lumpur disegerakan.

Fahmi berkata, dianggarkan tujuh lokasi tanah runtuh di Lembah Pantai masih dalam proses pembaikan.

Selain itu beliau berkata, penyelenggaraan sistem saliran di kawasan perumahan lama turut perlu diberi perhatian bagi mengurangkan impak kesan banjir kilat di ibu kota.

"Saya juga berpandangan sistem saliran terutama di kawasan perumahan yang berusia 30 tahun ke atas perlu dipantau, diselenggara atau ditambah baik bagi memastikan ia mampu menampung jumlah air yang lebih tinggi," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lawatan Ahli Parlimen Kuala Lumpur bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meninjau empat lokasi panas banjir kilat di ibu kota pada Khamis.

Empat lokasi tersebut adalah Jalan Ampang (Bukit Nenas), Jalan Rahmat, Jalan Kasipillay dan Jalan Dutamas 2.

Fahmi berkata, hasil lawatan itu, beliau mendapati kerja-kerja dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membaik pulih saliran adalah memuaskan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, program turun padang bersama menteri itu merupakan inisiatif yang baik dan berharap diteruskan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Shahidan (kiri) memberi taklimat kerja yang dilakukan bagi mengurangkan impak banjir kilat di Kuala Lumpur sewaktu lawatan bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur di lokasi panas banjir pada Khamis. - Foto FB DBKL
Shahidan (kiri) memberi taklimat kerja yang dilakukan bagi mengurangkan impak banjir kilat di Kuala Lumpur sewaktu lawatan bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur di lokasi panas banjir pada Khamis. - Foto FB DBKL

"Program dianjur bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL bagi meninjau keadaan lokasi berisiko banjir dan tindakan pencegahan yang telah dijalankan pihak berwajib.

"Kami telah diberi penerangan oleh menteri mengenai masalah dan solusi diambil KWP dan DBKL setakat ini.

"Pujian harus diberikan kepada menteri dan pasukan yang membuat inisiatif seperti ini. Saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya pada Jumaat.

Menerusi lawatan tersebut, Shahidan memberitahu langkah yang diambil melalui Projek Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 berjaya melancarkan aliran dua banjir kilat yang berlaku baru-baru ini.

Shahidan berkata, DBKL bertindak meletakkan beg pasir, menempatkan pasukan bit hotspot banjir DBKL dan menggunakan penyedut air daripada lori tangki di 24 kawasan hotspot banjir sebagai penyelesaian jangka masa pendek.

Tambahnya, bagi usaha jangka panjang pula, DBKL akan mengusahakan kolam takungan banjir di bawah tanah.

Lawatan bermula jam 5 petang itu turut disertai Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Turut serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.