Nelayan tak sempat hantar 9.03kg heroin kepada pelanggan

Mohd Shukhairy (dua dari kiri) menunjukkan heroin yang dirampas daripada ahli sindiket yang ditahan pada Rabu lalu.
Mohd Shukhairy (dua dari kiri) menunjukkan heroin yang dirampas daripada ahli sindiket yang ditahan pada Rabu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Polis menahan tiga lelaki yang merupakan ahli sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan berasingan di Nibong Tebal dan Kuala Kurau, Perak pada 15 Jun lalu.

Kesemua lelaki warga tempatan itu berusia lingkungan 34 hingga 53 tahun bekerja sebagai nelayan dan penternak ikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Shukhairy Abd Sabhe berkata, sindiket tersebut berjaya ditumpaskan setelah polis menahan seorang lelaki ketika memandu kenderaan jenis Volkswagen Passat pada jam 3.50 petang.

Menurutnya, polis terpaksa mengejar kenderaan suspek sejauh 200 meter sebelum berjaya memintasnya lalu menahan suspek di Jalan Besar, Nibong Tebal.

"Ketika rondaan dilakukan, kita mendapati kereta yang dipandu suspek berada dalam keadaan mencurigakan lalu memintanya berhenti. Bagaimanapun, suspek berusia 36 tahun itu bertindak memecut laju kenderaannya.

"Kereta suspek kemudiannya terbabas ke kiri jalan dan membolehkan kita mengepung di bahagian hadapan dan belakang kereta suspek. Suspek akhirnya ditahan dan pemeriksaan di dalam kereta menjumpai 9.03 kilogram heroin.

"Suspek yang merupakan nelayan itu dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan sindiket berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan penahanan suspek pertama, polis menyerbu sebuah rumah di Kuala Kurau, Perak dan menahan seorang lelaki berusia 53 tahun.

"Suspek yang merupakan penternak ikan itu ditahan pada jam 4.45 petang pada hari sama, namun tiada rampasan dadah dibuat ke atas suspek kedua. Hasil penahanan itu, kita berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 34 tahun di kawasan Nibong Tebal pada jam 10.45 malam.

"Suspek ketiga juga merupakan nelayan dan tiada rampasan dadah dibuat di atas penahanan tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shukhairy berkata, hasil siasatan, sindiket ini aktif sejak Januari lalu dan kesemua dadah adalah untuk pasaran tempatan.

"Dadah yang dirampas itu bernilai RM120,000 dan ia boleh dibekalkan kepada 45,000 penagih jika ia terlepas di pasaran. Kita masih menyiasat sama ada masih ada saki baki ahli sindiket ini yang masih bebas.

"Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah sementara ujian saringan air kencing menunjukkan kesemuanya positif methamphetamine," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain dadah, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kenderaan bernilai RM80,000.

"Nilai keseluruhan dadah dan aset sitaan adalah RM250,000. Suspek pertama direman tujuh hari sehingga 22 Jun ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sementara dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.