Ibu mengaku tidak bersalah aniaya anak gadis

Wanita yang juga seorang ejen minuman berdepan pertuduhan membenarkan anak perempuannya dianiayai secara seksual pada Disember 2019 .
Wanita yang juga seorang ejen minuman berdepan pertuduhan membenarkan anak perempuannya dianiayai secara seksual pada Disember 2019 .
A
A
A

RAUB - Seorang ejen minuman dikenakan ikat jamin RM12,000 selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub di sini, pada Jumaat atas pertuduhan membenarkan anak perempuannya dianiayai secara seksual oleh seorang paderi pada Disember 2019.

Tertuduh yang berusia 54 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam terpaksa diterangkan beberapa kali oleh jurubahasa mahkamah selepas mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa pada Disember 2019, kira-kira jam 2 petang bertempat di sebuah gereja di Bentong sebagai ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia 17 dua bulan ketika kejadian telah menganiayai kanak-kanak itu dari segi seks.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol memohon jaminan RM15,000 dan seorang penjamin serta tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai.

Tertuduh kemudiannya memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tidak memiliki pendapatan menentu sebagai ejen minuman dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan manakala suaminya hanya bekerja di kebun sayur serta perlu menanggung dua anak perempuan mereka.

Ahmad Faizadh kemudiannya mengenakan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai selain menetapkan sebutan semula pada 4 Ogos depan.