Kebebasan badan kehakiman perlu dipertahan: Syed Saddiq

Mas Ermieyati (tengah) ketika hadir di Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat bagi menerima memorandum daripada Majlis Peguam.
Mas Ermieyati (tengah) ketika hadir di Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat bagi menerima memorandum daripada Majlis Peguam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebebasan dan integriti badan kehakiman negara perlu dipertahankan demi kebaikan segenap lapisan masyarakat di dalam negara, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian semasa hadir memberikan sokongan terhadap Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pada Jumaat.

“Mereka hanya ingin mempertahankan institusi kehakiman negara yang saya rasa jika dipelihara dan dijaga, nikmatnya akan dirasai oleh semua termasuk anggota polis, penjawat awam dan juga tokoh korporat.

“Sebab itu saya pun di sini sebagai ahli Parlimen untuk mempertahankan institusi kehakiman negara yang bebas, berintegriti dan beramanah,” katanya.

Syed Saddiq (kiri) ketika hadir bagi memberikan sokongan pada Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok, di sini, pada Jumaat.
Syed Saddiq (kiri) ketika hadir bagi memberikan sokongan pada Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok, di sini, pada Jumaat.

Dianggarkan kira-kira 500 peserta perhimpunan berkumpul di Padang Merbok pagi Jumaat bagi menuntut kebebasan terhadap badan kehakiman susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Siasatan yang didedahkan kepada umum itu dilakukan ekoran catatan daripada blog politik mendakwa bekas hakim Mahkamah Tinggi itu mempunyai kekayaan tidak dapat dijelaskan.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Turut kelihatan beberapa ahli Parlimen Pembangkang antaranya, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui agak kecewa kerana perarakan himpunan berkenaan yang bermula pada jam 10 pagi Jumaat untuk bergerak dari Padang Merbok ke Parlimen dihalang polis.

“Sedikit kecewa mengapa mereka tidak benarkan untuk berjalan dengan aman menuju ke Parlimen khususnya apabila permohonan kebenaran telah pun dibuat jauh lebih awal,” jelasnya.

Kegagalan peserta perhimpunan untuk ke Parlimen bagaimanapun sedikit reda selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin hadir bagi menerima memorandum daripada Majlis Peguam pada kira-kira jam 11 pagi.

Isi kandungan memorandum ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob itu membabitkan empat tuntutan kepada kerajaan antaranya menegakkan kebebasan dan memelihara kepercayaan orang awam terhadap institusi tersebut.

Memorandum tersebut turut mengutuk tindakan SPRM dalam isu siasatan membabitkan hakim, Mohd Nazlan dan menuntut reformasi undang undang-undang di Parlimen bagi memastikan dakwaan terhadap hakim di dalam negara dapat dilakukan dengan betul tanpa merosakkan keyakinan terhadap badan kehakiman itu.

Pada April lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan kritikan terhadap badan kehakiman sudah melampaui batas selepas SPRM memulakan siasatan terhadap hakim Mohd Nazlan.

Tengku Maimun berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, namun tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.