15 rumah terbakar, 200 ikan laga, 8 kucing bengal rentung

Shahelmey melawat lokasi tapak kebakaran dan bertemu dengan penduduk yang terjejas di Kampung Contoh, Petagas, Putatan.
Shahelmey melawat lokasi tapak kebakaran dan bertemu dengan penduduk yang terjejas di Kampung Contoh, Petagas, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 15 rumah di Kampung Contoh, Petagas di sini musnah terbakar pada malam Khamis.

Kejadian jam 9 malam itu menyebabkan 76 penduduk terdiri daripada 17 ketua isi rumah kehilangan tempat tinggal.

Salah seorang mangsa yang juga peniaga haiwan peliharaan, Matdin Pulau, 54, bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang malah

turut mengalami kerugian lebih RM70,000 selepas ikan laga dan kucing bengal yang dijualnya rentung dalam kebakaran itu.

Matdin mendakwa kebakaran itu bermula dari salah sebuah rumah jiran mereka yang terletak di bahagian hadapan dan dia hanya menyedari kejadian itu apabila api dilihat sudah marak.

"Ketika kejadian saya berada di tempat penyimpanan ikan laga dan saya lihat api begitu pantas merebak ke rumah sebelah.

"Saya segera membawa ahli keluarga keluar dari rumah tanpa sempat membawa sebarang pakaian atau barangan dari rumah kerana mahu menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kebakaran pada Jumaat.

Katanya lagi, akibat kejadian itu dia tidak sempat menyelamatkan haiwan peliharaan yang dijualnya kerana keadaan ketika itu sangat genting.

"Sebanyak 200 ekor ikan laga dan lapan ekor kucing jenis bengal tidak dapat diselamatkan. Haiwan itu semuanya ditemui rentung pagi tadi.

"Kami memang tinggal sehelai sepinggang, semua barangan berharga isteri termasuk barangan kemas dan wang tunai lebih RM7,000 turut musnah terbakar," katanya.

Seorang lagi penghuni, Hasrani Harun, 44, memaklumkan, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar anaknya ke asrama di Tuaran, namun terpaksa berpatah balik apabila menerima panggilan telefon bahawa rumah mereka terbakar.

"Dalam keadaan panik, melalui telefon juga saya arahkan anak serta bapa saya yang berada di rumah supaya mereka selamatkan diri terlebih dahulu.

Hasrani (kanan) bersama anaknya berada di tapak kebakaran mencari wang tabungan anaknya yang terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Contoh, Petagas, Putatan.
Hasrani (kanan) bersama anaknya berada di tapak kebakaran mencari wang tabungan anaknya yang terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Contoh, Petagas, Putatan.

"Semua barangan termasuk dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir dan wang tabungan serta barang sekolah anak-anak seperti komputer riba dan pencetak tidak sempat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) telah diwujudkan untuk penduduk yang terjejas supaya berpindah untuk sementara waktu.

"Saya dimaklumkan hanya enam keluarga yang melaporkan diri di PPS dan ada beberapa keluarga mangsa tinggal di tapak kebakaran ini selain menumpang di rumah keluarga yang terdekat.

"Untuk perancangan jangka panjang, kita dapatkan butiran laporan secara terperinci dan kita lihat bagaimana kerajaan boleh membantu mereka mengikut kriteria sama ada mungkin mereka ditempatkan menerusi bantuan perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini," katanya.