Dua mayat pelajar pondok ditemui berpelukan

Mayat salah seorang mangsa diusung menuju kenderaan polis untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut.
Mayat salah seorang mangsa diusung menuju kenderaan polis untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Dua mayat pelajar sebuah sekolah pondok di Pasir Tumboh di sini ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan berpelukan antara satu sama lain selepas dipercayai lemas di sungai Gong Dermin, Kubang Kerian pada pagi Jumaat.

Mayat Muhammad Zul Hafiz Azman, 18, dan Luqman Hakim Azman,16, ditemui pada jam 8.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mayat kedua-duanya ditemui 20 meter daripada tempat mereka turun ke sungai.

“Kedua-dua mayat ditemui terapung di permukaan air pada jarak 20 meter dari tempat mereka turun ke sungai.

“Mayat mereka ditemukan dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pada jam 7.19 malam, Khamis bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu terima panggilan daripada kecemasan 999 memberitahu bahawa kejadian lemas di sungai tersebut.

“Hasil siasatan awal, pada jam 6 petang semalam, kedua-dua mangsa tersebut pertama kali mandi di kawasan terbabit bersama sembilan rakan sekolah terbabit.

“Saksi melihat seorang daripada mangsa hanyut jauh dan tenggelam manakala seorang lagi mangsa dilihat lemas serta tenggelam di kawasan berdekatan dengan tempatnya mandi,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama dua hari dengan 25 kekuatan termasuk 11 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Operasi SAR oleh pasukan Penyelam Di Air (PPDA) membuat selaman di dasar sungai pada jam 9.40 malam sehingga jam 11 malam, semalam dan SAR bersambung pada jam 8.30 pagi pada Jumaat serta berakhir selepas kedua-dua mangsa ditemukan pada jam 8.40 pagi.

“Kedua-dua jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk bedah siasat,” katanya.