Gesa ambil tindakan terhadap warga asing sokong hina nabi

Noran Zamani (tiga dari kanan) bersama Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Pokok Sena menunjukkan laporan polis dibuat di balai polis Pokok Sena pada Khamis.
Noran Zamani (tiga dari kanan) bersama Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Pokok Sena menunjukkan laporan polis dibuat di balai polis Pokok Sena pada Khamis.
A
A
A
POKOK SENA - UMNO Bahagian Pokok Sena tampil membuat laporan polis berhubung sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves menyokong perjuangan ahli politik dari India yang membuat penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Menurut Naib Ketuanya, Noran Zamini Jamaluddin, tindakan tersebut dilihat mampu mencetuskan bibit-bibit kemarahan umat Islam di negara ini dan berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya.

"Isu seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan menular dalam negara kita yang berbilang bangsa dan agama rasminya adalah Islam.

"Oleh itu kami berharap pihak berkuasa siasat dan mengambil tindakan supaya isu ini tidak berlarutan hingga menjejaskan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia pada hari ini,” katanya pemberita pada Khamis.

Menurut Noran Zamani, tindakan warga asing tersebut mengecewakan kerana tidak menghormati rakyat negara ini terutamanya orang Islam.

"Mereka yang bekerja di sini perlulah menghormati undang-undang Malaysia dan agama rasminya.

“Kami berharap mereka yang cuba menggores perasaan penduduk beragama Islam di negara ini perlu dibawa ke muka pengadilan supaya peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” ujarnya.

Pada Selasa, tular video di aplikasi Tik Tok memaparkan sekumpulan warga asing mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan ahli politik India yang menghina Nabi Muhammad SAW di negara tersebut.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung penularan video di aplikasi TikTok berhubung kejadian tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau golongan awam.

Menurutnya siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.