Saya hantar bagasi berisi wang tunai RM3 juta kepada Ahmad Zahid: Saksi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), David Tan pada Khamis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah menghantar bagasi berisi RM3 juta kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Seri Satria, Putrajaya.

Tan, 47, bagaimanapun tidak ingat bila penghantaran itu dilakukan tetapi ia adalah kali kedua beliau ke kediaman rasmi Ahmad Zahid bersama bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Katanya, beliau telah memasukkan wang itu ke dalam bagasi beroda dan meninggalkannya di ruang tamu.

Ditanya mengenai penghantaran pertamanya, saksi itu berkata: "Saya ke rumah Ahmad Zahid dengan Wan Quoris (bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani).”

"Kami ke ruang tamu (rumah Ahmad Zahid), kemudian Wan Quoris mula bercakap mengenai operasi perniagaan dan juga isu politik. Selepas itu, Wan Quoris meminta diri dan keluar dari bilik tersebut.

"Kemudian saya mengambil sampul (yang berisi wang itu) dan memaklumkan Datuk Seri bahawa ini sampulnya serta meninggalkan ia di atas meja, salam Datuk Seri dan meninggalkan bilik itu,” katanya.

Semasa membacakan pernyataan saksinya, Tan berkata, beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Ahmad Zahid setiap bulan.

"Saya diminta berbuat demikian oleh Harry (Lee). Saya juga beberapa kali terlibat menghantar wang tunai kepada Datuk Seri (Ahmad Zahid). Saya telah membuat catatan untuk menunjukkan penghantaran wang tunai secara bulanan kepada Datuk Seri bermula dari Oktober 2014 hingga Ogos 2018,” katanya.

Beliau berkata, wang yang digunakan UKSB sebagai bayaran bulanan dan sekali beri tidak diambil daripada akaun syarikat itu sebaliknya ia adalah daripada rakan kongsi perniagaan di Hong Kong.

"UKSB tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung pembayaran itu, justeru itu saya terpaksa meminta rakan kongsi kami untuk membantu.

"Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya secara tunai. Selepas menerima wang tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul yang bertutup,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Jumaat. - Bernama