Kes buli: Polis ambil keterangan tiga pelajar

Gambar kecil: Superintendan Shafa’aton Abu Bakar
Gambar kecil: Superintendan Shafa’aton Abu Bakar
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis mengambil keterangan tiga pelajar lelaki Tingkatan Empat berhubung kes buli seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Puncak Alam, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian itu daripada mangsa pada Isnin lalu.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 12 tengah hari semasa pengadu berada di tandas sekolah tersebut sebelum didatangi tiga pelajar yang mengaku sebagai pelajar Tingkatan Empat di sekolah sama.

“Mereka telah meminta wang daripada pengadu, namun pengadu menjawab wangnya berada di dalam beg sekolah di dalam kelas.

“Dengan tiba-tiba salah seorang daripada mereka telah menghentak kepala pengadu di lantai tandas tersebut dan suspek yang lain telah mengambil seketul batu lalu menghentak batu tersebut di lutut sebelah kanan pengadu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar lelaki menjadi mangsa buli apabila lututnya berlubang dan cedera di bahagian muka serta gigi akibat dipukul pelajar senior di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Shafa’aton berkata, mangsa mendakwa kejadian itu menyebabkannya cedera di bahagian bibir, patah di gigi depan, hidung, lutut kanan serta sakit di bahagian leher dan menerima rawatan di sebuah klinik di Puncak Alam.

“Hasil siasatan, mangsa memaklumkan dia ditolak dan bukan dipukul oleh pelajar-pelajar terbabit mengakibatkan dia terjatuh dan patah gigi.

“Lutut mangsa yang tercedera disebabkan beberapa hari sebelum kejadian mangsa telah terjatuh di jalan raya akibat terlanggar bonggol jalan dan bukan disebabkan kecederaan akibat dipukul,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, mangsa telah dipanggil pihak polis untuk mengenal pasti pelaku melalui kawad cam dengan mengumpulkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima di dewan sekolah terbabit, namun dia gagal mengecam suspek.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan pelaku masih diteruskan,” jelasnya.