Exco perlu bertugas dengan baik jika tidak mahu ditukar

Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Khamis.
Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco), di bawah kepimpinan kerajaan negeri baharu agar menjalankan tugas dengan baik sekiranya tidak mahu ditukar.

Sultan Ibrahim bertitah gabungan Exco yang kebanyakannya berusia di bawah 50 dan 40 tahun dan terdiri daripada golongan pendidikan seharusnya membawa kecemerlangan kepada negeri ini.

"Saya telah lantik lebih 70 peratus mereka di bawah usia 50 tahun, malah, ada lima Exco di bawah usia 40 tahun, jadi saya harap dengan gabungan Exco dan pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman akan dapat bawa kemajuan dan kecemerlangan kepada negeri Johor.

"Saya akan perhatikan dan nilai prestasi kerja setiap Exco dan saya akan buat pertukaran jika ada yang gagal pikul tugas yang telah diberi," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Khamis.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan agar tiada perebutan kuasa dan supaya semua pihak menghentikan kempen politik memandangkan sudah tiba masa bekerja dan menunaikan segala janji yang dibuat dahulu.

Sidang DUN Johor ada peraturan yang wajib dipatuhi, jaga adab, tingkah laku dan tertib, saya juga berharap Speaker baharu akan bertindak tegas di mana jika ada ADUN melanggar peraturan jangan teragak-agak ambil tindakan.

"Suka saya ingatkan setiap Ahli Dewan wajib hadir dalam semua Persidangan, kerana ini tugas sebagai Ahli Dewan, pastikan jangan ada yang ponteng," titah baginda lagi.

Persidangan DUN ditangguhkan kepada Ahad ini.