Ketua balai polis, anggota bomba didakwa terima rasuah

Ketua balai polis berpangkat Inspektor di Balai Polis Kajang Mohd Alfian Mohd Zainal 34 (tengah), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,000 daripada pengusaha rumah urut, tiga tahun lepas. - Foto Bernama
Ketua balai polis berpangkat Inspektor di Balai Polis Kajang Mohd Alfian Mohd Zainal 34 (tengah), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,000 daripada pengusaha rumah urut, tiga tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ketua balai polis dan seorang anggota bomba hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah masing-masing berjumlah RM1,000 daripada pengusaha rumah urut, tiga tahun lepas.

Mohd Alfian Mohd Zainal, 34, ketua balai polis berpangkat Inspektor di Balai Polis Kajang didakwa atas dua pertuduhan manakala Shah Kamil Ghani, 35, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah didakwa tiga pertuduhan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan Mohd Alfian, dia didakwa menerima bagi dirinya wang tunai masing-masing sebanyak RM500 daripada Wong Chee Keong, tanpa sebarang balasan yang mana dia mengetahui bahawa pemberian itu mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai ketua balai polis untuk mengawal selia setiap operasi penguatkuasaan balai berkenaan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Balai Polis Kajang, kira-kira pukul 10.53 malam pada 27 Sept 2016 dan 11.27 malam, 25 Okt 2016.

Bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, Mohd Alfian didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pertama Shah Kamil pula, dia didakwa kerana bersetuju untuk menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada Wong bagi membantunya mendapatkan surat permohonan sokongan lesen perniagaan syarikat JJ Harmony Spa daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Shah Kamil didakwa menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM500 daripada individu sama untuk tujuan yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan pertama dan kedua di BBP Pandan Indah, dekat sini kira-kira pukul 12.05 tengah hari, 30 Mac 2016 manakala kesalahan ketiga di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik Perdana, Semenyih sekitar pukul 4.10 petang, 1 April 2016.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Micheal Joimin mencadangkan mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap Mohd Alfian dan Shah Kamil selain mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam yang mewakili Mohd Alfian, Muhammad Hidhir Mustapa memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan kerana anak guamnya yang juga bapa kepada empat anak itu hanya memperoleh pendapatan RM3,500 sebulan serta menanggung ibu yang sedang sakit.

Sementara itu, peguam mewakili Shah Kamil, Siti Nadiah Skh Saad juga memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah memandangkan nilai suapan yang diterima anak guamnya adalah kecil.

Hakim Rofiah Mohamad menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan terhadap Mohd Alfian dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan sebutan semula kes pada 30 April depan.

Rofiah turut menetapkan jaminan sebanyak RM21,000 bagi kesemua pertuduhan terhadap Shah Kamil dengan seorang penjamin selain dia perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan kes akan disebut semula pada 29 April depan. - Bernama