Perak pembekal utama makanan negara menjelang 2030

Saarani menunjuk buku Ringkasan Eksekutif Pelan Perak Sejahtera 2030 ketika sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.
Saarani menunjuk buku Ringkasan Eksekutif Pelan Perak Sejahtera 2030 ketika sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak meletakkan keutamaan terhadap sektor pertanian dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai pembekal utama makanan negara menjelang tahun 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri sebelum ini untuk menjadi pengeluar makanan utama negara tambahan krisis makanan yang melanda global ketika ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan membangunkan sebanyak mungkin tanah-tanah yang ada di Perak bagi tujuan pertanian dan sekuriti makanan.

"Kita memang nak jadikan Perak ini sebagai hab pembekal ataupun pengeluar makanan utama. Selain daripada padi, kita ada sumber lain seperti ikan malah Perak merupakan negeri yang mendaratkan ikan paling besar, begitu juga dengan sayur-sayuran.

"Keperluan untuk negeri Perak akan kita perkasakan sebagai pembekal utama makanan negara. Perlu dipastikan kecukupan untuk sara diri rakyat Perak dan seterusnya dibekalkan ke negeri-negeri lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Saarani menjelaskan kerajaan negeri kini sedang giat memulihkan dan membangunkan tanah terbiar yang berkeluasan 713.82 hektar.

Menurutnya, tumpuan diberikan kepada usaha mempertingkat sekuriti makanan dengan mewujudkan nilai tambah kepada tanaman yang telah mencapai Kadar Sara Diri 100 peratus dan memperluas kawasan tanaman serta bilangan petani bagi tanaman yang belum mencapai kadar tersebut.

Mengenai Pelan Perak Sejahtera 2030, Saarani berkata, perancangan jangka panjang itu menggariskan enam agenda iaitu Jaminan Sekuriti Makanan, Memacu Ekonomi Digital, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data, Perak Koridor TVET Malaysia, Perlombongan Lestari dan Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri.

Menurutnya, bagi mencapai agenda dan sasaran yang ditetapkan dalam pelan tersebut, sebanyak 18 program utama dirangka melibatkan sinergi antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi negeri.

Beliau berkata, menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 itu juga turut memperincikan kekuatan setiap daerah melalui penjenamaan semula potensi menggunakan konsep niche.

"Jenama berdasarkan kekuatan setiap daerah juga memudahkan daerah-daerah diperkenalkan kepada pelabur asing dan syarikat swasta yang ingin memulakan perniagaan di Perak.

"Penjenamaan ini akan memudah cara pembangunan infrastruktur dan kemudahan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif sekali gus merangsang pelaburan berkualiti. Penjenamaan daerah merupakan inovasi strategik bagi menyelaraskan aspek sosial, ekonomi, budaya dan komersial," katanya.

Saarani berkata, pelaksanaan pelan tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan.