Tiada kelulusan baharu kuari pasir, balak di Hutan Simpan Gunung Raya

Hutan Simpan Gunung Raya diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan keluasan 4,930 hektar di bawah Akta Perhutanan Negara pada 15 Mac 1941.
Hutan Simpan Gunung Raya diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan keluasan 4,930 hektar di bawah Akta Perhutanan Negara pada 15 Mac 1941.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak pernah mengeluarkan lesen atau kelulusan baharu untuk aktiviti kuari, pengeluaran pasir darat dan pembalakan di Hutan Simpan Gunung Raya (HSGR) di Langkawi, seperti didakwa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar memaklumkan, surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bertarikh 9 Mei 2021 yang tular di media sosial bertujuan untuk memaklumkan kepada pihak berkaitan mengenai hampir 140 hektar yang diperuntukkan untuk aktiviti perlombongan dan kuari pasir yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu, telah dikurangkan kepada 19 hektar.

Menurut kenyataan itu, penjelasan ini berhubung kelulusan bagi mengeluarkan saki baki kayu di beberapa Kompartmen HSGR kepada Yiked Holdings Sdn. Bhd, yang merupakan anak syarikat Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKED).

“Ia mencetuskan kebimbangan kononnya kerajaan negeri memberi lesen atau kelulusan baharu untuk aktiviti pembalakan dan kuari. Sebenarnya ia surat pemakluman Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB) melalui mesyuarat pada 23 April 2020, memutuskan semua kawasan kuari batu dan pasir diluluskan hanya 19 hektar.

“Sehubungan itu, semua syarikat yang diberikan kelulusan diarahkan oleh JPNK untuk melaksanakan proses pengecaman semula kawasan dengan keluasan yang diluluskan itu,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, pada ketika ini hanya satu kelulusan melibatkan kuari serbuk batu sedang beroperasi manakala empat lagi belum melaksanakan aktiviti pengkuarian pasir darat dan batu granit.

“Berdasarkan rekod JPNK, beberapa kelulusan pengkuarian (lesen kecil) telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri melalui JKTHB dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sejak beberapa tahun lalu.

“Sebahagian kompartmen 1 HSGR dengan keluasan asal 3.51 hektar untuk aktiviti kuari serbuk batu diluluskan pada tahun 1989 kepada sebuah syarikat sedang beroperasi.

“Tiga lagi yang diberikan kelulusan kepada YIKED pada 2017 untuk kuari pasir darat masing-masing 40 hektar di Kompartmen 11 dan 12 serta kuari batu granit yang diberikan kelulusan pada 2020 tidak beroperasi.

“Kelulusan lain adalah sebahagian Kompartmen 11 seluas 40 hektar untuk kuari pasir yang diluluskan pada 2017 kepada Permodalan Kedah Berhad uga tidak beroperasi,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, susulan penjelasan itu, diharapkan tiada lagi pihak yang bimbang atau curiga mengenai kemungkinan terdapat kelulusan baharu dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada mana-mana pihak untuk menjalankan aktiviti kuari atau pembalakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Raya.

“Hutan simpan ini dengan 18 kompartmen telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan keluasan 4,930 hektar di bawah Akta Perhutanan Negara pada 15 Mac 1941.

“Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sentiasa meletakkan komitmen yang tinggi dalam memelihara kelestarian alam sekitar di seluruh negeri ini,” kata kenyataan tersebut.