Kemas terima pengiktirafan Readers Digest

Abdul Rahman (empat kiri) menerima trofi pengiktirafan daripada Sheron (tiga kiri) pada Selasa.
Abdul Rahman (empat kiri) menerima trofi pengiktirafan daripada Sheron (tiga kiri) pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerima pengiktirafan sebagai jenama yang dipercayai oleh Readers Digest dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di negara ini buat kali ketiga.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, transformasi yang diperkenalkan oleh Kemas dalam pendidikan awal kanak-kanak termasuk memperkenalkan pendigitalan dalam pembelajaran membuktikan pendidikan awal kanak-kanak di bawah Kemas seiring dengan peredaran semasa.

“Semasa pandemik Covid-19 menyaksikan pelbagai transformasi dilaksanakan oleh Kemas dalam memastikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian lebih tersusun dan sistematik,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika hadir menerima Trofi Pengiktirafan Anugerah Jenama Dipercayai Readers Digest daripada Pengarah Pemasaran dan Pengiklanan Asia Pasifik Readers Digest, Sheron White di sini pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yazid Bidin bersama pengurusan tertinggi Kemas.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 10,206 orang Pendidik Masyarakat Tabika Kemas dalam memastikan institusi itu terus mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Sesi libat urus Kemas, ibu bapa dan masyarakat setempat melibatkan pendidikan awal kanak-kanak akan diteruskan demi memastikan kepercayaan ini terus kekal,” ujarnya.

Tambahnya lagi, PdPR secara dalam talian juga mampu memastikan pelajar-pelajar Kemas tidak ketinggalan dalam pembelajaran sekaligus memberikan keyakinan kepada ibu bapa dalam memilih dan mempercayai Kemas sebagai pendidikan awal kanak-kanak.

“Penilaian Readers Digest berteraskan kepada tujuh aspek iaitu kualiti, inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial, kebolehpercayaan, kredibiliti dan memahami kehendak pengguna.

“Kaedah pengukuran kualiti dan penilaian persepsi ke atas pengguna yang dilaksanakan oleh Readers Digest berbentuk subjektif ini membuktikan penilaian yang telus serta tiada unsur-unsur paksaan kepada pengguna untuk meletakkan jenama tertentu dalam soal selidik yang dibuat,” katanya.