Lari masuk hutan bakau tinggalkan rokok seludup dalam bot

Kotak-kotak berisi rokok yang berjaya dirampas Maritim Malaysia Pahang yang ditemui dalam sebuah bot ditinggalkan dua lelaki di kawasan muara Sungai Kuantan di sini pada awal pagi Selasa.
Kotak-kotak berisi rokok yang berjaya dirampas Maritim Malaysia Pahang yang ditemui dalam sebuah bot ditinggalkan dua lelaki di kawasan muara Sungai Kuantan di sini pada awal pagi Selasa.
A
A
A

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM105,000 hasil penahanan sebuah bot gentian kaca di muara Sungai Kuantan di sini pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot dinaiki dua lelaki itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi 2.6 batu nautika barat daya muara Sungai Kuantan kira-kira jam 1.35 pagi.

Menurutnya, bot samaran dinaiki tiga anggota Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan mengesan bot terbabit bergerak di persisiran pantai menuju ke Sungai Kuantan.

"Menyedari kehadiran anggota maritim, suspek memecut bot dinaiki ke arah hulu Sungai Kuantan.

"Suspek kemudian meninggalkan bot dan berjaya meloloskan diri ke dalam hutan bakau berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kamal Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot yang ditinggalkan, pihaknya menemui 35 kotak berisi rokok dipercayai tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan.

"Semua rokok yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia Negeri Pahang akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras.

Menurutnya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.