UUM sokong kempen perangi rasuah

Haim Hilman (tengah) menerima cenderahati daripada skuad Rasuah Busters yang diketuai Nurhayati (dua dari kiri) di Bangunan Canselori Sultan Salehuddin, UUM pada Selasa.
Haim Hilman (tengah) menerima cenderahati daripada skuad Rasuah Busters yang diketuai Nurhayati (dua dari kiri) di Bangunan Canselori Sultan Salehuddin, UUM pada Selasa.
A
A
A

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) menyokong penuh usaha Rasuah Busters mendidik masyarakat untuk memerangi najis rasuah terutamanya kepada mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi (IPT).

Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka di negara ini, pihaknya mahu melahirkan penuntut yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga sahsiah diri.

Menurutnya, gerakan dari rakyat untuk rakyat ini wajar disambut oleh semua pihak dalam membina generasi yang mempunyai integriti tinggi di semua lapisan masyarakat dan juga umur.

"UUM bukan sahaja mahu melahirkan ketua pegawai eksekutif (CEO), teknokrat, birokrat tapi kita juga mahu melahirkan orang-orang yang hatinya sentiasa menangis di malam hari mengingati ALLAH SWT kerana sedih melihat keadaan yang lemah pada hari ini dengan kekurangan kita.

"Saya harap tenaga yang sedang menggerakkan kempen ini akan disahut oleh semua di luar sana. Jangan pernah rasa lelah.

"Saya selalu berkata, walaupun mungkin peluh jatuh mencurah, tapi jangan pernah kita rasa lelah. Kita sayang negara kita, sebab itu kita semua buat kerana tahu tanggungjawab kita dan akan realisasikannya," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat dan temu mesra Yayasan Sinar untuk Malaysia (#RasuahBusters) di Bangunan Canselori Sultan Salehuddin, UUM, dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Haim Hilman berharap program yang dibawa itu akan berjalan lancar dan turut mengalu-alukan kempen untuk terus diadakan di IPT tersebut pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, UUM adalah universiti awam pertama yang bekerja secara langsung dengan pihaknya secara fizikal selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, Rasuah Busters menyasarkan untuk bekerjasama dengan semua pengurusan universiti awam dan swasta di seluruh negara malah usaha itu telah dimulakan sedikit demi sedikit.

"Golongan belia adalah salah satu fokus Rasuah Busters terutama mahasiswa dan mereka juga adalah antara komuniti yang terbesar dalam gerakan dan kempen ini.

"Selepas kita memberikan kesedaran umum kepada masyarakat secara rawak, kita kemudiannya akan mula fokus kepada mereka yang mempunyai akademik luar biasa. Mereka akan keluar untuk jadi pemimpin," ujarnya.