‘Upah tangkap ayam 70 sen sekilogram’

Saharuddin (kiri) melihat ayam proses di pusat pemborong ayam di Kuala Nerus, Terengganu pada Selasa.
Saharuddin (kiri) melihat ayam proses di pusat pemborong ayam di Kuala Nerus, Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS – Ada peladang ayam mengenakan caj tambahan seperti upah menangkap ayam sebanyak 70 sen sekilogram kepada pemborong menyebabkan kos bahan mentah itu meningkat berbanding RM5.60 harga ladang yang ditetapkan kerajaan.

Taktik tersebut dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dalam pemeriksaan di salah sebuah pusat pemborong ayam terbesar negeri ini, di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pemeriksaan tersebut diadakan susulan rungutan diterima dari pemborong dan peruncit ayam tentang caj tambahan yang dikenakan kepada mereka dan situasi berkenaan disahkan berlaku.

“Mengikut invois dikemukakan pemborong, harga ayam diberikan memang betul seperti ditetapkan kerajaan tapi dikenakan caj lain seperti upah tangkap ayam sebanyak 70 sen menjadikan harga ayam dari ladang meningkat kepada RM6.80 sekilogram.

“Apabila pihak pemborong dikenakan caj tambahan seperti itu, mahu tidak mahu mereka juga terpaksa menyerap kos dengan mengenakan caj pengangkutan pula kepada peruncit.

“Kesannya, peruncit dilaporkan turut mengenakan caj seperti potong ayam, beg plastik dan ais pula kepada pembeli bagi menyerap kembali kos-kos yang terpaksa mereka tanggung dan menyebabkan pengguna terjejas,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut Saharuddin, peladang tidak sepatutnya mengenakan caj tambahan kerana mereka sudah mendapat subsidi daripada kerajaan bagi menampung kos supaya harga ayam dalam pasaran stabil sekali gus tidak membebankan rakyat.

Sehubungan itu beliau berkata, KPDNHEP akan melakukan siasatan di peringkat peladang ayam bagi mengetahui punca sebenar masalah itu berlaku termasuk sama ada mereka menerima bayaran subsidi atau sebaliknya.

Jelas beliau, terdapat lapan pemborong utama ayam di Terengganu dan kebanyakan mereka memperoleh bekalan bahan mentah itu dari peladang di Melaka, Pahang dan sebahagian ladang kontrak di negeri ini.

Sementara itu, Saharuddin berkata, seramai 22 pemborong dan peruncit ayam dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan kompaun keseluruhan berjumlah RM9,000 sejak pemantauan dilakukan bermula 2 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, 12 peruncit dikompaun kerana kesalahan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum manakala 10 pemborong pula melibatkan kesalahan menjual ayam borong tanpa lesen dan gagal kemukakan rekod transaksi jualan ayam,” katanya.