Syor kadar sewa kantin sekolah dikurangkan

Ada pihak mencadangkan kadar sewa kantin sekolah dikurangkan bagi menampung isu harga barangan asas yang tidak stabil.(Gambar hiasan)
Dari kiri (Mohamed Saufi), (Zaidi), (Muhamad Alif)
Ada pihak mencadangkan kadar sewa kantin sekolah dikurangkan bagi menampung isu harga barangan asas yang tidak stabil.(Gambar hiasan) Dari kiri (Mohamed Saufi), (Zaidi), (Muhamad Alif)
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak wajar harga makanan di kantin sekolah dinaikkan bagi mengatasi isu pengusaha terbeban dengan kenaikan harga barangan di pasaran.

Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) Kebangsaan Negeri Selangor, Mohamed Saufi Shafie berkata, beliau mencadangkan kadar sewa kantin sekolah dikurangkan bagi menampung isu harga barangan asas yang tidak stabil.

Menurutnya, pengusaha kantin yang berdepan masalah kos operasi itu diminta merujuk dengan pihak sekolah bagi mendapat solusi terbaik.

"Nasihat saya kepada pengusaha, mereka perlu bincang dengan pihak sekolah sekiranya menghadapi isu harga makanan di kantin.

"Sekiranya tak mampu, mereka boleh bincang dengan pentadbir. Tindakan meluahkan rasa tidak puas hati tentang harga kepada pihak luar tidak menyelesaikan isu sebenar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, pengusaha juga mempunyai pilihan untuk menyerahkan tender kepada pihak lain jika tidak mampu menampung beban.

Katanya, isu harga kantin tidak perlu diperbesarkan supaya ia dapat diselesaikan secara situasi menang menang.

Seorang pengusaha kantin, Muhamad Alif Roslan, 26 menggesa kerajaan mengkaji semula kadar harga makanan dijual dalam sekolah susulan kenaikan harga bahan mentah dalam pasaran.

Penyediaan makanan di kantin sebuah sekolah. - Gambar hiasan
Penyediaan makanan di kantin sebuah sekolah. - Gambar hiasan

Menurutnya, kos operasi meningkat dan pengusaha terpaksa menanggung kerugian susulan tidak boleh menaikkan harga makanan dalam sekolah kerana terikat dengan kontrak.

"Harga RM2 bagi satu pinggan nasi berlauk ayam tidak lagi relevan dengan keadaan ekonomi sekarang.

"Saya rasa seperti nak mansuh harga ayam RM1. Ini kerana harga seekor ayam sahaja sudah mencecah RM23 dan jika dipotong kepada 20 bahagian sekali pun, kami masih menanggung rugi sebanyak RM3.

"Itu tidak termasuk kos tambahan lain seperti minyak peket yang sukar didapati selain kenaikan harga barangan mentah lain," katanya.

Luahnya, harga minuman yang dinaikkan kepada RM1 baru-baru ini juga turut menerima keluhan serta teguran dalam kalangan guru-guru.

"Saya terpaksa naikkan harga daripada 50 sen kepada RM1 kerana sekolah tidak benarkan menjual air bewarna atau kordial.

"Harga 50 sen itu telah diguna pakai lebih 10 tahun lalu dan mustahil minuman seperti air barli dijual dengan harga sama pada masa kini," katanya.

Seorang lagi pengusaha kantin, Zaidi Umar, 47, mengakui turut dibebani dengan kenaikan harga barang selain kos penyediaaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hanya diperuntukan RM2.50 sehari bagi setiap murid.

"Saya minta kadar tersebut dinaikkan kerana menu yang disediakan mengandungi set lengkap nutrisi iaitu nasi beserta buah serta air.

"Sebelum ini desakan kadar itu dikaji semula telah dimohon namun sehingga kini belum ada jawapan," katanya.

Jelasnya, kos operasi meningkat susulan kenaikan harga barangan menyebabkan margin keuntungan menjadi kecil daripada biasa.