ABIM tuntut semak semula keanggotaan India dalam UNHRC

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut agar keanggotaan India sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) disemak semula.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kerajaan India telah melanggar hak asasi rakyat yang mengadakan bantahan secara aman di beberapa wilayah susulan dua pegawai pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

“Ia dapat dilihat dalam liputan media-media antarabangsa menyaksikan mereka yang berhimpun secara aman telah dipukul, diseksa dan ditahan oleh pihak berkuasa India.

“Adalah sesuatu yang amat memalukan apabila badan hak asasi manusia dunia seperti UNHRC dianggotai kerajaan yang secara jelas mencabuli hak asasi manusia.

“Pencabulan tersebut tidak terhad hanya kepada insiden terkini, tetapi pencabulan hak asasi yang dilakukan secara terang-terangan sebelum ini seperti di wilayah Kashmir, Assam, Karnataka dan beberapa wilayah lain,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhammad Faisal menegaskan, insiden sebegini adalah satu pencabulan jelas ke atas hak asasi rakyat untuk mengadakan bantahan secara aman.

“Justeru, ABIM menggesa badan hak asasi dunia khususnya UNHRC di bawah pimpinan Michelle Bachelet untuk mengecam pelanggaran hak asasi secara terang-terangan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, ABIM turut menggesa agar Malaysia yang terpilih menganggotai UNHRC bagi tempoh 2022-2024 untuk turut memainkan peranan membawa perkara itu dengan lebih tegas ke peringkat antarabangsa sebagai tanggungjawab memelihara prinsip hak asasi di jagat antarabangsa.