Wanita beli motosikal RM1 untuk hantar anak sekolah

Norwahidah (dua,kiri) dan suaminya Mohd Amir (kiri) berkerusi roda gembira menerima motosikal itu di Taman Taman Seri Duyong 2, di sini, pada Isnin.
Norwahidah (dua,kiri) dan suaminya Mohd Amir (kiri) berkerusi roda gembira menerima motosikal itu di Taman Taman Seri Duyong 2, di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Impian seorang suri rumah memiliki kenderaan sendiri untuk menguruskan anak-anak pergi dan balik sekolah akhirnya tercapai selepas terpilih membeli sebuah motosikal Modenas Kriss berharga serendah RM1.

Norwahidah Maulad, 33, berkata, sejak suaminya Mohd Amir Idris 33, hilang sebelah kaki akibat kencing manis 10 tahun lalu, dia tidak pernah memiliki kenderaan sendiri meskipun sebuah motosikal.

Menurutnya, setiap bulan terpaksa memperuntukan kira-kira RM260 bagi bayaran sewa van sekolah bagi empat orang anak selain wang untuk kereta e-hailing (grab) bagi membawa suami menjalani rawatan dialisis.

Katanya, dalam tempoh itu mereka hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

"Sehingga sekarang bayaran van sekolah masih tertunggak dan tak tahu bila kami dapat menjelaskannya.

"Syukur dengan motosikal ini anak-anak selepas ini tidak perlu menaiki van dan saya boleh menghantar mereka malah lebih menjimatkan," katanya.

Norwahidah berkata demikian ketika penyerahan motosikal terbabit oleh pemilik Makdad Workshop, Shikh Muhammad Makhdad Haron di rumah sewanya di Taman Seri Duyong 2, di sini, pada Isnin.

Norwahida (kiri) terharu dapat memiliki sebuah motosikal dengan harga RM1.
Norwahida (kiri) terharu dapat memiliki sebuah motosikal dengan harga RM1.

Mengulas lanjut Norwahida berkata sejak suami tidak mampu bekerja seperti biasa, dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk menguruskan anak-anak yang masih bersekolah dan seorang di sekolah menengah.

Menurutnya, sekurang-kurangnya kenderaan itu memudahkan mereka bergerak termasuk membuat penghantaran barang yang dijual secara dalam talian di kawasan sekitar.

"Sebenarnya saya pernah terfikir untuk bekerja namun dengan keadaan suami begini, ditambah pula seorang anak berusia tujuh tahun dikategorikan orang kurang upaya (OKU) serta seorang lagi anak berusia empat tahun yang perlu dijaga, saya terpaksa melupakan hasrat itu," katanya.

Malah ujarnya, sebelum ini rumah yang didiami dibiayai MAIM namun disebabkan tuan rumah menjual rumah itu mereka terpaksa berpindah ke rumah lain dengan kadar sewa RM500 sebulan.

"Sekarang ni kami terpaksa mencari wang untuk membayar rumah sewa ini dan MAIM akan membantu sekiranya kami berpindah ke rumah sewa yang lebih murah," katanya.

Sementara itu, Shikh Muhammad Makhdad berkata, ini merupakan motosikal ketiga melalui program infak yang diperolehi motosikal terbabit dari rakannya.

"Kebetulan kawan memaklumkan motosikalnya tidak digunakan dan terus berikan pada saya.

"Bagu merealisasikan hasrat wanita ini saya membelanjakan kira-kira RM1,000 bagi membaik pulih motosikal termasuk kos cukai jalan dan kos Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) kerana dua tahun tidak digunakan," katanya.