Permintaan lembu untuk korban pada Aidiladha di Selangor meningkat

Izham Hashim
Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Permintaan lembu untuk korban pada Aidiladha tahun ini dijangka meningkat mendadak susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, berdasarkan tinjauan dan analisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVSSEL), berlaku peningkatan mendadak untuk kegunaan korban iaitu dari 5,000 hingga 6,000 ekor lembu pada tahun ini.

Menurutnya, peningkatan itu susulan ramai umat Islam yang menangguhkan ibadah korban ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, akan melaksanakan ibadah itu pada tahun ini.

"Kerajaan negeri akan memastikan bekalan lembu mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang musim perayaan Aidiladha.

"Selangor tidak akan menghadapi masalah bekalan sama ada bagi kegunaan harian mahupun untuk kegunaan ibadah korban kerana mempunyai kuasa beli tinggi berbanding negeri lain.

"Disebabkan itu, pedagang ternakan akan menumpukan pasaran dan membawa masuk seberapa banyak ternakan ke Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Izham, masalah bekalan juga tidak akan berlaku, apabila kerajaan memberikan kebenaran kemasukan sumber import lembu dari Thailand.

"Pedagang lembu korban utama berpusat di Selangor juga mempunyai ladang ternakan lembu untuk menyimpan stok lembu korban di negeri-negeri bersempadanan dengan Thailand seperti Kedah dan Kelantan," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 4,083 lembu korban disembelih pada 2019 sebelum menurun kepada 2,171 pada 2020 dan meningkat semula kepada 4,161 pada 2021.