'Geng Remy Sentosa' aktif curi kenderaan tumpas

Polis merampas lapan buah kenderaan pelbagai jenis jenama Proton yang dilaporkan hilang di beberapa lokasi berbeza, iaitu sekitar negeri Selangor, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur sebelum ini.
Polis merampas lapan buah kenderaan pelbagai jenis jenama Proton yang dilaporkan hilang di beberapa lokasi berbeza, iaitu sekitar negeri Selangor, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur sebelum ini.
A
A
A

SENTUL - Kegiatan sindiket curi kenderaan jenis Proton di sekitar kawasan Lembah Klang yang didalangi Geng Remy Sentosa tumpas dalam Operasi Lejang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam operasi itu empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun ditahan.

Menurutnya, serbuan dilaksanakan di beberapa lokasi berasingan di Selangor dan Perak pada 4 Jun hingga 8 Jun lalu.

Eng Lai (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Isnin.
Eng Lai (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Isnin.

“Susulan daripada tangkapan dilakukan, pihak polis merampas lapan buah kenderaan pelbagai jenis jenama Proton yang dilaporkan hilang di beberapa lokasi berbeza, iaitu sekitar negeri Selangor, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur.

Kesemua kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM60,000.

“Selain itu, dua unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua pemutar skru, pahat, 'allen key', serta dua spanar pembuka tayar disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan turut dirampas ketika serbuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Isnin.

Barang yang digunakan oleh geng Remy Sentosa untuk mencuri kenderaan
Barang yang digunakan oleh geng Remy Sentosa untuk mencuri kenderaan

Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati dalang sindiket diketuai suspek dikenali dengan nama panggilan Remy Sentosa berumur 38 tahun yang mensasarkan kenderaan buatan Malaysia seperti Proton Wira, Iswara dan Putra.

“Kesemua kenderaan yang dicuri akan dijual kepada individu berminat dengan anggaran harga antara RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model kenderaan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan direman di IPD Sentul bermula 5 Jun hingga 11 Jun bagi membantu siasatan.

Hasil penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan 13 kes kecurian yang dilaporkan iaitu enam kes di Kuala Lumpur, Selangor (empat kes), Perak (dua) dan Melaka (satu),” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes terbabit diminta berhubung dengan bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222.