Lelaki pandu van melulu, miliki 73 saman ditahan

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki memandu van secara melulu dengan memotong di garisan berkembar dan selekoh.
Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki memandu van secara melulu dengan memotong di garisan berkembar dan selekoh.
A
A
A

KULIM - Seorang lelaki ditahan apabila didapati memandu secara berbahaya selain dikesan mempunyai 73 rekod saman lampau termasuk 22 berstatus waran.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki berusia 41 tahun itu dikesan selepas video yang menunjukkan seorang pemandu van memotong kenderaan di selekoh dan garisan berkembar tular serta meraih tontonan ramai di media sosial.

Menurutnya, hasil semakan mendapati, kejadian dipercayai berlaku pada jam kira-kira 5.30 petang Ahad di Jalan Kelang Lama- Lunas berhampiran pekan Lunas di sini.

"Suspek memandu dengan cara melulu iaitu memotong di garisan berkembar dan di kawasan selekoh sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Tindakan itu menyebabkan sebuah kenderaan yang berada berhampiran terpaksa mengelak ke kiri jalan," katanya.

Jelasnya, pemilik van turut disaman atas kesalahan membenarkan atau bersubahat di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut Mohd Redzuan, pemandu dan kenderaan juga telah ditahan pada jam kira-kira 1 petang Isnin dan dibawa ke balai trafik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.