Karnival kerjaya di Melaka tawar 11,000 jawatan untuk pencari kerja

Hee Sam (dua,kiri) melihat kerja-kerja persiapan bagi penganjuran karnival kerjaya di MITC, Ayer Keroh bermula Sabtu ini.
Hee Sam (dua,kiri) melihat kerja-kerja persiapan bagi penganjuran karnival kerjaya di MITC, Ayer Keroh bermula Sabtu ini.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 11,000 jawatan kosong ditawarkan oleh 37 majikan yang sedang menunggu pencari kerja melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans, anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sam berkata, karnival dengan kerjasama kerajaan negeri itu akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu dan Ahad ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

"Penganjuran ini sejajar pembukaan semua sektor industri dalam fasa peralihan endemik dan menjadi platform kepada pencari kerja pelbagai lapisan termasuk graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta serta lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam negeri mahupun luar Melaka," katanya dalam sidang akhbar di MITC, pada Isnin.

Menurut Hee Sam, program tersebut merupakan salah satu acara tahunan kerajaan negeri dan Perkeso sejak dua tahun lalu dengan menyaksikan penyertaan syarikat swasta yang menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti Petronas, Sime Darby Plantation Berhad, Maybank Berhad, Infineon Technologies (M) Sdn Bhd, Honda Malaysia Sdn Bhd, Hatten Hotel Melaka A Famosa Resort dan lain lain.

"Keunikan pada tahun ini adalah penglibatan daripada platform digital seperti Grabcar, theal Medical Services dan Akla Services yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam ekonomi Gig.

"Saya berharap orang ramai yang masih mencari pekerjaan dapat memanfaatkan peluang bermula 18 dan 19 Jun ini," katanya lagi.

Tambah beliau, usaha tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran di Melaka yang dianggarkan kira-kira 2.8 peratus iaitu paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Tambahnya, mereka yang bekerja sendiri juga boleh datang untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso serta khidmat nasihat keushawanan dan buruh daripada agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam karnival tersebut.

Semua orang terutama rakyat Melaka dipelawa mengambil peluang hadir ke karnival kerjaya itu dengan mendaftar di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.