Terpaksa lebih kreatif serap kos

Ada pengusaha kantin mengekalkan harga makanan sedia ada walaupun margin keuntungan mereka berkurangan. - Gambar hiasan
Ada pengusaha kantin mengekalkan harga makanan sedia ada walaupun margin keuntungan mereka berkurangan. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Kenaikan harga barangan mentah menyebabkan pengusaha kantin terpaksa memikirkan cara lain untuk menyerapkan kos tanpa meningkatkan harga makanan yang dijual.

Seorang pengusaha kantin sekolah, Noorhajra Kamaruddin, 42, mengakui kenaikan barangan keperluan ketika ini sangat ketara dan membebankan.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengusaha kantin tidak boleh menaikkan harga makanan sesuka hati.

“Saya mengusahakan kantin sekolah kebangsaan. Kebanyakan makanan dijual pada harga RM1 seperti nasi goreng dan nasi lemak. Nak kata terbeban itu memanglah sebab harga barang semua naik.

“Tapi kita tak sampai hati nak naikkan harga sebab bukan semua mak ayah mampu beri duit belanja lebih kepada anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Noorhajra berkata, pengusaha terpaksa mencari jalan lain untuk menampung kos dan mendapatkan keuntungan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI), Sharul Baha Abd Rahman mengakui pengusaha kantin merasai kesan kenaikan harga barang memandangkan Koperasi PUBI turut terlibat dalam mengusahakan kantin.

Sharul Baha
Sharul Baha

Bagaimanapun, katanya, harga makanan sedia ada masih boleh dikekalkan biarpun margin keuntungan pengusaha berkurang.

“Setakat ini pihak pengusaha tidak berhasrat untuk menaikkan harga makanan di kantin sekolah,” katanya.