KSM akan perkenal sistem kad pengenalan untuk pekerja asing

Saravanan (tengah) melawat ruang pameran selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Tapah pada Ahad. - Foto Bernama
Saravanan (tengah) melawat ruang pameran selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Tapah pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor pekerjaan kepada pekerja asing dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pelaksanaan kad berkenaan antaranya bagi mengelak majikan menyalahgunakan pendaftaran pekerja asing di sektor masing-masing.

Menurutnya, langkah itu juga diperkenalkan untuk menangani isu pekerja asing lari ke sektor perniagaan lain seperti dihadapi sektor pembinaan ketika ini yang berdepan kekurangan pekerja susulan tawaran gaji lebih menarik dalam sektor perladangan sawit.

"Ini memang berlaku, permintaan yang tinggi di sektor perladangan kerana berlakunya kenaikan harga kelapa sawit menjadikan pemilik ladang kelapa sawit sanggup bayar gaji lebih berbanding sektor lain.

"Maka dengan keadaan itu ada yang lari dan ada yang dicuri. Atas faktor itu, kita memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor untuk mengatasi masalah ini, lagi-lagi sekarang dengan pembukaan semua sektor untuk pekerja asing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Tapah di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata, bagi sesetengah kes, berlaku keadaan majikan daripada sektor lain telah membawa pekerja asing mengikut saluran pertanian kerana bayaran levi yang lebih rendah.

"Kalau mengikut bayaran levi untuk sektor pertanian adalah lebih murah, maka ramai majikan walaupun daripada sektor lain mereka membawa pekerja asing dengan saluran pertanian kerana mereka boleh membayar levi yang murah.

"Dengan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor, kita dapat mengatasi masalah ini," katanya.

Justeru, katanya, penggunaan sistem kad pengenalan itu nanti dapat memudahkan pemeriksaan pihak berkuasa iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menjalankan penguatkuasaan.

Media sebelum ini melaporkan, kenaikan harga buah tandan segar susulan peningkatan ketara harga minyak sawit mentah (MSM) menjejaskan tenaga kerja dalam sektor lain, terutamanya pembinaan.

Ramai pekerja beralih ke sektor perladangan sawit yang menawarkan gaji lebih tinggi berikutan harga sawit sedang melonjak.