BN terbuka terima mana-mana parti sertai gabungan: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) terbuka untuk menerima mana-mana parti termasuklah Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai gabungan itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keterbukaan itu bersandarkan prinsip yang terkandung dalam perlembagaan BN yang terbagi kepada tiga kategori iaitu parti teras, parti gabungan atau Friends of BN dan individu.

Bagaimanapun katanya, setiap ketetapan yang akan diambil perlu dibawa ke meja rundingan dengan kesemua pimpinan Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu.

“Saya telah melontarkan perkara ini dalam konvensyen BN pada 1 Jun lalu (mengenai keterbukaan untuk terima mana-mana parti sertai BN) dan ini memberikan gambaran bahawa kesediaan kita untuk menerima bukan hanya PBM tapi parti-parti lain sebesar dan sekecil mana pun sebagai salah atau daripada prinsip dalam kategori parti atau individu.

“Keputusan belum dibuat tapi tentunya perkara ini telah sampai kepada saya (mengenai hasrat PBM sertai gabungan BN) dan tidak akan membuat keputusan seorang diri.

“Sebaliknya, saya akan bincang dengan rakan- rakan dalam kepimpinan Dewan Tertinggi BN untuk mencanaikan jika secara rasmi mana mana pihak memohon menyertai BN,” katanya sidang akhbar selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU 2.0) ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’ di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaan BN untuk menerima PBM yang berhasrat untuk menyertai gabungan itu.

Laporan media sebelum ini memetik Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng, sebagai berkata, PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, ditanya sama ada BN telah menerima permohonan PBM, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan.