PBM umum Zuraida sebagai bakal presiden

Keahlian dan jawatan Zuraida (tiga dari kanan) sebagai bakal Presiden PBM diumumkan secara rasmi pada sidang media khas PBM pada Khamis.
Keahlian dan jawatan Zuraida (tiga dari kanan) sebagai bakal Presiden PBM diumumkan secara rasmi pada sidang media khas PBM pada Khamis.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI ] Parti Bangsa Malaysia (PBM) memutuskan untuk mengangkat Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai bakal presiden parti itu.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PBM, Larry Sng yang turut mengumumkan keahlian Zuraida secara rasmi sebagai ahli PBM.

Larry berkata, keputusan itu diambil atas permintaan akar umbi parti itu dan pelantikan Zuraida sebagai Presiden PBM secara rasmi akan berkuat kuasa selepas mesyuarat agung dan pindaan perlembagaan parti itu yang dijangka diadakan pada Ogos depan.

"Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBM juga telah berbincang dan sebulat suara membuat keputusan untuk mengangkat Zuraida sebagai 'president designate' bagi memacu pembangunan dan perkembangan PBM untuk masa akan datang.

"Majlis Tertinggi PBM akan bermesyuarat sekali lagi dalam masa terdekat untuk menyusun semula perlembagaan parti bagi membolehkan proses transisi kepimpinan ini berjalan dengan lancar dan teratur," katanya pada sidang media khas PBM pada Khamis.

Tambah Larry, majlis tertinggi parti dan biro politik pada mesyuarat juga sebulat suara bersetuju Zuraida akan mengetuai perbincangan PBM dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

"Sekiranya saya tidak dapat menghadiri mesyuarat, sudah tentu yang dilantik presiden akan memimpin. Kami juga memutuskan dia akan mengetuai PBM.

"PBM telah pun memberi mandat untuk beliau mengetuai delegasi bertemu pemimpin parti lain dari segi keahlian dan gabungan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, PBM turut meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mempertimbangkan untuk mengekalkan kedudukan Zuraida dalam kabinet atas faktor prestasi Zuraida yang memberangsangkan sepanjang menjadi menteri.

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau akan menjalankan amanat yang diberikan bagi memastikan PBM sebagai parti yang relevan.

"Enam tunjang yang digariskan iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia adalah tunjang yang amat bertepatan dengan apa yang berlaku dalam negara.

"Tema 'jom reset' untuk semua tunjang ini akan membawa perubahan kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Pada masa sama, media dimaklumkan satu sesi sidang khas oleh Zuraida dijangka diadakan dalam tempoh seminggu lagi.

Pada 26 Mei lalu Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk sertai PBM.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.