Dua maut pacuan empat roda rempuh tiang jejantas

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas sebuah Toyota Hilux terbabas dan melanggar tiang jejantas di Lebuhraya Pasir Gudang, Taman Perling, Johor Bahru pada Sabtu.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas sebuah Toyota Hilux terbabas dan melanggar tiang jejantas di Lebuhraya Pasir Gudang, Taman Perling, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki maut manakala tiga cedera selepas pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki hilang kawalan dan merempuh tiang jejantas di susur masuk ke Taman Damansara Aliff di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Taman Perling di sini pada Sabtu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Nor Affendi Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.39 pagi.

Beliau berkata, susulan itu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan kekuatan sembilan anggota dari BBP Tebrau dan BBP Kempas dikejarkan ke tempat kejadian.

"Dua mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali Charles Anak Singgai, 24, dan Rizky Ahmad Hua Abdullah, 35, akibat tersepit di bahagian penumpang dan tercampak keluar dari kenderaan.

"Tiga lagi mangsa yang cedera dikenali Douglas Anak Martin, 29; Kareno Anak Esang, 39; dan Andy Mieky Anak Bunyah, 22, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, operasi tamat pada jam 7.55 pagi.