Pendedahan KSN terima elaun 1MDB cetus persoalan

Mohd Sidek hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu sebagai saksi perbicaraan kes berhubung 1MDB. - Foto Bernama
Mohd Sidek hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu sebagai saksi perbicaraan kes berhubung 1MDB. - Foto Bernama
A
A
A

PENDEDAHAN bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan di mahkamah pada Selasa lalu menimbulkan persoalan dan pertikaian daripada beberapa pihak.

Persoalan utama yang berbangkit tentulah berkaitan dengan kewajaran untuk beliau menerima elaun sebanyak RM30,000 sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012 semasa beliau memegang jawatan sebagai KSN.

Ini kerana menerusi keterangannya dalam kes perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, beliau memaklumkan dirinya tidak pernah terlibat dengan sebarang mesyuarat atau perbincangan mengenai isu melibatkan syarikat berkenaan.

Selain itu, Mohd Sidek yang merupakan saksi pendakwaan ke-19 bagi kes tersebut memaklumkan beliau beranggapan pelantikannya ke dalam 1MDB oleh Najib itu hanya untuk meningkatkan pendapatannya sebagai KSN.

Menurut beliau, ini disebabkan Najib sebelum itu pernah menyatakan kepadanya bahawa jumlah gaji diterimanya itu adalah terlalu rendah berbanding tanggungjawab yang dipikul.

Untuk rekod, sebagai KSN, Mohd Sidek menerima gaji bulanan sebanyak RM29,125.

Susulan perkembangan tersebut, bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin pada Khamis menggesa kerajaan menyiasat perkara tersebut dan melaporkan hasil siasatan melalui kertas putih.

Selain itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu memainkan peranan dan menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut yang disyaki mempunyai unsur-unsur rasuah.

Pada masa sama, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Nizam Mohd Isa pula berkata, Mohd Sidek wajar memulangkan elaun yang diterimanya itu jika pelantikan tersebut tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Dalam pada itu, keterangan Sidek dalam perbicaraan kes itu juga turut mendedahkan mengenai kemungkinan berlakunya konflik kepentingan membabitkan dana kerajaan dan parti politik.

Menurut Mohd Sidek, mengikut pemahamannya, 1MDB yang merupakan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada parti kerajaan ketika itu iaitu Barisan Nasional (BN).

Malah beliau berkata, sebagai penjawat awam, adalah sukar untuknya ketika itu untuk membezakan antara polisi kerajaan dan parti yang memerintah kerajaan.