Jadi kewajipan moral Sidek: Peguam

Noorazmir
Noorazmir
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pengamal Undang-Undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) menyifatkan adalah menjadi kewajipan moral untuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan memulangkan semula elaun diterimanya sepanjang menjadi Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presidennya, Noorazmir Zakaria berkata, sebagai bekas pegawai kanan kerajaan, beliau seharusnya sedar bahawa elaun berkenaan tidak layak diterimanya dan Mohd Sidek harus memperbetulkan keadaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, sebagai sebuah syarikat, 1MDB juga harus melakukan siasatan dan bertindak sekiranya merasakan pemberian elaun kepada Mohd Sidek adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

“Sepatutnya dalam isu ini, beliau harus bertanggungjawab dan memulangkan kembali elaun itu. Memang ia bukanlah kewajipan untuknya dari segi undang-undang tetapi dari sudut kewajipan moral.

“Perlu diingat, pihak berkuasa juga ada kuasa untuk menyiasat dan pada saya, memang perlu disiasat sebab 1MDB adalah isu antarabangsa, bukan nasional dan ia melibatkan dana kerajaan, atau dengan kata lain, wang rakyat juga,” katanya.

Malah, Mohd Sidek juga dikekalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB selepas bersara dengan elaun sebanyak RM10,000 sebulan sehingga Jun 2015.

Mengulas lanjut, Noorazmir menjelaskan, tiada undang-undang khusus yang membolehkan Mohd Sidek memulangkan kembali duit berkenaan kerana pelantikan sedemikian kebiasaannya dibuat secara kontrak.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa boleh dan wajar menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah atau wujud penyalahgunaan kuasa sama ada di pihak syarikat, pihak ahli lembaga pengarah atau pihak-pihak lain.