Makhluk ganjil dirakamkan di luar Zoo Amarillo

Kamera keselamatan merakamkan kelibat makhluk ganjil di luar Zoo Amarillo, Texas pada bulan lalu. - Foto Twitter / @CityofAmarillo
Kamera keselamatan merakamkan kelibat makhluk ganjil di luar Zoo Amarillo, Texas pada bulan lalu. - Foto Twitter / @CityofAmarillo
A
A
A

AMARILLO - Pihak bandar raya Amarillo, Texas di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti sosok aneh yang dilihat pada kamera pengawasan di luar Zoo Amarillo pada bulan lalu.

Imej aneh itu dirakamkan sekitar jam 1.25 pagi pada 21 Mei lalu dari dalam pagar perimeter di Zoo Amarillo menerusi kamera keselamatan.

Imej itu mirip manusia yang sedang memakai topi yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, pihak bandar raya tersebut menggalakkan orang ramai untuk mengemukakan idea bagi merungkaikan identiti makhluk ganjil yang dilihat pada kamera keselamatan.

“Kami ingin mendengar maklum balas daripada komuniti tentang pendapat mereka. Ia adalah gambar yang sangat unik dan kami teruja untuk melihat pendapat komuniti. Foto itu benar-benar nyata,” kata Michael Kashuba iaitu Pengarah Taman dan Rekreasi dengan Bandar Raya Amarillo.

Buat masa ini, pelawat aneh itu dirujuk sebagai Objek Amarillo Yang Tidak Dikenali.

"Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa entiti ini (makhluk ganjil itu) berada di luar Zoo Amarillo,” kata Kashuba.

“Tiada tanda-tanda percubaan masuk ke zoo. Tiada haiwan atau individu yang dicederakan. Tidak ada tanda-tanda aktiviti jenayah atau vandalisme,” ujarnya lagi. - Agensi