Pesara aset negara

A
A

KUALA LUMPUR - Di sebuah bilik air di Lapangan Terbang Changi Singapura baru-baru ini, saya berkesempatan berbual dengan seorang penyelia lelaki yang sedang memantau pekerja asingnya bekerja.

Lelaki yang berusia lewat 60an itu memberitahu saya dia sudah bersara daripada perkhidmatan awam dan kini bekerja dengan syarikat pencucian bangunan.

Tugasnya menyelia khidmat penjagaan di tingkat satu lapangan terbang itu. Tanggungjawab beliau adalah untuk menjamin semua bilik air sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kering pada setiap waktu.

Dia kata dia bangga dengan pekerjaan baharunya dan tidak pernah berasa bosan. Lelaki itu adalah antara sejumlah pesara yang diambil berkhidmat oleh Lapangan Terbang Changi. Bagaimana agaknya di negara kita?

Apakah pesara masih dianggap sebagai sumber manusia atau orang yang sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk disumbangkan kepada negara?

Saya pasti Malaysia mempunyai ramai pesara profesional, pengurus, jurutera, akauntan, jururawat, guru, pengamal komunikasi dan media, polis, anggota tentera dan kakitangan awam.

Mungkin ada yang menghabiskan masa persaraan untuk santai bercuti setelah sekian lama bekerja dan mungkin juga ada yang meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan penuh kebosanan dan berasa tidak berguna.

Daripada membiarkan pengalaman serta kemahiran mereka menjadi sia-sia, elok sungguh mereka ditawarkan pekerjaan dalam bidang yang berkait dengan kemahiran yang ada. Langkah ini membolehkan pesara berkenaan terus menyumbang kepada pertumbuhan serta pembangunan negara. Sewaktu saya bertugas dengan sebuah syarikat pengurusan sisa, kami menerima sepucuk surat daripada sebuah agensi di Perancis, memaklumkan agensi tersebut boleh “mengeksport pekerja mahir” termasuk jurutera pelbagi bidang berkaitan serta juruteknik dan pengurus untuk membantu membangunkan perniagaan syarikat kami.

Bagi saya cara itu yang terbaik untuk golongan pesara memperolehi pendapatan dan untuk syarikat kami menggunakan perkhidmatan mereka. Di bawah cadangan agensi itu, syarikat kami perlu membayar gaji pesara dan pihak agensi di Perancis akan mengendalikan urusan perjalanan, penginapan serta isnurans perubatan.

Bagaimanapun, syarikat kami tidak menerima cadangan agensi itu untuk menggunakan khidmat pesara kerana aspek menggunakan pesara sebagai tenaga pekerja masih baharu pada 2004.

Saya masih menganggap memberi pekerjaan kepada pesara sebagai peluang terbaik untuk meneroka kemampuan “golongan yang dilupakan” ini yang banyak menyumbang kepada negara serta industri di mana mereka pernah bekerja.

Bagi saya kita perlu memberi perhatian serius kepada kumpulan pekerja berkemahiran yang sudah bersara ini, agar mereka tidaklah diketepikan daripada arus pembangunan ekonomi negara.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, jumlah pesara di Malaysia pada 2017 ialah 597,000 daripada 2.01 juta rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Kadar penggajian orang berumur 65 tahun di negara maju seperti Iceland ialah 38.3 peratus, Korea Selatan 31.5 peratus dan Jepun 23.5 peratus, sementara di Indonesia yang ekonominya berasaskan pertanian, kadarnya ialah 41.8 peratus Sekiranya warga emas di negara berkenaan masih boleh diterima bekerja, peluang sama perlu juga diberikan kepada rakyat Malaysia dalam kategori yang sama. Menurut Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya, bilangan rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas dijangka mencecah 3.5 juta pada 2020 dan 6.3 juta pada 2040 – kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Malaysia perlu mengambil langkah positif untuk menangani isu ini secara serius. Pesara jangan dipandang sebagai membebankan. Mereka mempunyai bakat, kemahiran, kematangan serta kewibawaan yang dapat membantu syarikat di mana mereka bekerja menghadapi sebarang kesukaran secara pragmatik.

Dalam soal penggajian pesara ini, ia perlu menjadi inisiatif kerajaan, dilaksanakan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan Warga Emas Malaysia, Persatuan Gerontologi Malaysia, Yayasan Kemanusiaan Malaysia dan Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia di samping sokongan agensi antabangsa seperti Help Age International, United Nations Population Fund, Senior Net USA atau the International Federation of Ageing.

Ketika Malaysia menuju menjadi negara penuaan menjelang 2030 di mana tujuh pertaus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas, setiap usaha yang dibuat untuk menggaji pesara akan memberi manfaat kepada negara. Enam manfaat menggaji pesara seperti berikut:- 1. Pengalaman: Mereka mempunyai pengalaman bertahun-tahun lamanya dan pastinya melalui pelbagai kesulitan serta perubahan yang berlaku dalam dunia pekerjaan dan tempat mereka bekerja. Pengetahuan yang ada itu membuatkan firma yang mengambil mereka bekerja tidak perlu membelanjakan duit untuk melatih mereka lagi.

2.Etika Kerja: Menurut kajian terkini, pekerja berumur lebih 50 tahun lebih berdikari, tabah serta lebih fokus kepada tugas yang diberikan. Kelebihan ini boleh menjadi teladan yang baik untuk pekerja lebih muda.

3.Khidmat Pelanggan: Banyak syarikat peruncitan (di negara lain) menggaji pekerja yang lebih berusia kerana mereka lebih matang daripada segi emosi dan boleh berurusan lebih baik dengan pelanggan. Ini mewujudkan keadaan persekitaran kerja yang lebih ceria untuk pekerja dan pelanggan. Penyelidikan juga menunjukkan komunikasi lisan yang baik semakin mantap apabila usia meningkat dan ini menjadikan suasana bekerja lebih menyeronokkan.

4.Pengenalan Pelanggan: Beberapa buah syarikat dengan pelanggan warga emas menggaji lebih ramai pekerja berusia kerana mereka lebih mudah mengenal pasti keperluan pelanggan berkenaan.

5.Kesetiaan: Berbanding pekerja lebih muda, pekerja berusia jarang bertukar-tukar kerja. Syarikat dapat menjimatkan kos yang besar sekiranya jumlah pekerja yang berhenti adalah kecil.

6.Motivasi: Pekerja berusia adalah antara yang paling bermotivasi dalam sesebuah tempat kerja, demikian menurut kajian sebuah firma perunding antarabangsa pada Disember 2005. Menurut kajian itu, pekerja berumur 55 tahun dan ke atas mempunyai purata “markah motivasi” 78.4, berbanding 71.2 untuk mereka yang berusia antara 18 dan 29 tahun.

Pesara merupakan sumber pendapatan baik untuk negara. Sudah tiba masanya perkara ini diberi perhatian serius dan berilah mereka peluang untuk bekerja selepas usia persaraan bagi menjamin mereka juga negara memperolehi manfaat daripada skim penggajian semula.