Jangan gagalkan RUU Anti Lompat Parti: Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - UMNO menyokong Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dibentangkan semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 18 Julai depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pindaan itu cukup penting bagi mengelak isu lompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat sehingga mengakibatkan keadaan politik negara tidak stabil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap, tiada pihak yang cuba untuk menggagalkan pembentangan pindaan RUU tersebut yang segera perlu dimuktamadkan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) berlangsung kelak.

"Perkiraannya cukup mudah, semua ahli Parlimen di blok kerajaan mahupun pembangkang perlu menunjukkan rasa tanggungjawab mereka dengan menyokong pindaan tersebut demi kepentingan pengundi yang mereka wakili.

"Pindaan tersebut penting bagi mengelakkan berlakunya kes lompat parti sebagaimana baru-baru ini yang melibatkan Datuk Zuraida Kamaruddin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Begitu juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kukusan, Rina Jainal yang bertindak keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat),” katanya ketika ditemui di Kampung Dalam Ayer Baloi, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan mesyuarat khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengikut keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku ketua majlis.

Wan Junaidi berkata, beberapa faktor telah dipertimbangkan semasa sesi perbincangan bersama Ismail Sabri antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat khas Parlimen bagi kedua-dua dewan.

Pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika mesyuarat khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan.